BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman denda RM5,000 ke atas sebuah syarikat pajak gadai berdaftar kerana turut menjalankan perniagaan menjual barangan emas yang tidak ditebus.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Supang Lian dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan bahawa perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

Mereka membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kedai Pajak Shin Ngien Sdn Bhd untuk mengetepikan sabitan dan hukuman denda yang dikenakan ke atasnya bagi kesalahan tersebut.

Dalam penghakimannya, Supang berkata perbuatan menjual barangan emas yang tidak ditebus dalam premis pajak gadai itu bukanlah sebahagian daripada perniagaan syarikat tersebut.

"Kami mendapati aktiviti sedemikian, jika dilakukan, adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972," katanya dalam penghakiman setebal 34 halaman bertarikh 24 Mei lalu.

Beliau berkata objektif akta itu bukan hanya melindungi kepentingan penggadai tetapi juga keselamatan barang gadaian.

"Kami bersetuju dengan keputusan Majistret yang begitu teliti menimbang keterangan berkaitan bahawa perayu (Kedai Pajak Shin Ngien) telah gagal menunjukkan bahawa penjualan barangan emas yang tidak ditebus di premis perniagaannya adalah amalan sejagat dalam kalangan syarikat pajak gadai di Malaysia," katanya.

Beliau berkata kesan amalan penjualan barangan emas yang tidak ditebus dalam premis yang sama adalah satu tindakan yang berisiko kerana amalan pemberian pinjaman berisiko tinggi dalam kalangan industri pajak gadai kini berleluasa dan membahayakan keselamatan barangan gadaian sekali gus meningkatkan risiko berlaku aktiviti tidak sah seperti pengubahan wang haram.

"Oleh itu, penggubal undang-undang telah mengehadkan syarikat pajak gadai dalam perniagaan pajak gadai sahaja bagi memastikan ia beroperasi secara telus dan selamat," katanya sambil menambah dengan menggunakan pendekatan sedemikian, entiti terbabit boleh dipantau dan dikawal dengan lebih berkesan bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang serta peraturan tempatan sedia ada.

Kedai Pajak Shin Ngien didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret dan dikenakan denda RM9,000. Selepas rayuan, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan namun mengurangkan jumlah denda kepada RM5,000 yang menyebabkan syarikat itu membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Menurut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di premis syarikat pajak gadai tersebut di Sungai Way, Petaling Jaya pada 11.30 pagi 1 Mac 2017.

Bukti yang dikemuka pada perbicaraan kes itu menunjukkan bahawa Kedai Pajak Shin Ngien adalah pemegang pajak gadai berdaftar dengan lesen sah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Semasa pemeriksaan di kedai pajak gadai itu, pegawai yang melakukan serbuan mendapati terdapat barangan emas yang dipamer dengan tanda harga serta beratnya di premis tersebut.

Barangan emas yang dijual di premis itu adalah gadaian yang tidak ditebus serta diperoleh Kedai Pajak Shin Ngien sama ada melalui lelongan atau secara terus daripada pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 9:24 PM