BUKIT KAYU HITAM 20 APRIL 2020.Buah mata kucing sebanyak 340 kilogram dari Thailand yang dirampas MAQIS kerana tidak mempunyai permit import.NSTP/IHSAN MAQIS
BUKIT KAYU HITAM 20 APRIL 2020.Buah mata kucing sebanyak 340 kilogram dari Thailand yang dirampas MAQIS kerana tidak mempunyai permit import.NSTP/IHSAN MAQIS
Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas buah mata kucing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Hasil pemeriksaan lori menemui 340 kilogram buah mata kucing dianggarkan bernilai RM850 tanpa dokumen yang sah yang cuba dibawa masuk dari Thailand .

Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Lily Rosalind berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah seperti permit import adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta sama.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar dan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara jika tidak di kawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 11:33 AM