KAKITANGAN MAQIS menunjukkan kerang dan siput barai laut yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
KAKITANGAN MAQIS menunjukkan kerang dan siput barai laut yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk 65 kilogram (kg) kerang dan siput barai laut dari Indonesia di pintu masuk MAQIS, Pelabuhan Lumut, di sini, semalam.

Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman berkata, pemeriksaan mendapati kerang dan siput barai laut yang dianggarkan bernilai RM580 itu diletakkan dalam tong sama dengan ikan.

Menurutnya, hasil laut berkenaan diletakkan di bahagian bawah timbunan ikan bagi mengaburi penguat kuasa MAQIS dan kerang juga didapati sudah mati serta masih berlumpur.

"Kerang dan barai laut yang cuba diseludup masuk itu tidak mempunyai permit import sah dikeluarkan oleh MAQIS.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(2) sama sama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan di pintu masuk negara dengan teliti untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 5:05 PM