Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menahan dua kontena yang membawa bulu biri-biri dalam kejadian di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah, jam 3 petang semalam. FOTO IHSAN MAQIS JOHOR
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menahan dua kontena yang membawa bulu biri-biri dalam kejadian di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah, jam 3 petang semalam. FOTO IHSAN MAQIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan dua kontena yang membawa bulu biri-biri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah, dekat sini, semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan yang dijalankan Pegawai Penguatkuasa Maqis Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 3 petang itu mendapati konsainan yang dibawa masuk dari negara Jerman itu membawa bulu biri-biri sebanyak 39,586 kilogram yang dianggarkan bernilai RM330,289.85.

Katanya, pemandu tempatan berusia 40-an yang memandu kontena berkenaan dipercayai membawa masuk dagangan itu untuk diproses di Malaysia dan dieksport semula.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bulu biri-biri itu tidak mematuhi syarat import seperti mana yang dinyatakan dalam permit Maqis, iaitu bulu biri-biri tidak menjalani rawatan yang ditetapkan.

"Kesemua bulu biri-biri ditahan dan disita oleh Jabatan Maqis untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Pengimport boleh didakwa mengikut Seksyen 15(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 5:33 PM