KAKITANGAN MAQIS Kedah membuat pemeriksaan pada lori terbabit. FOTO Ihsan MAQIS
KAKITANGAN MAQIS Kedah membuat pemeriksaan pada lori terbabit. FOTO Ihsan MAQIS
Mohd Rizal Abdullah


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah merampas 500 kilogram (kg) mangga dan 57.60 kg bunga ros di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Isnin lalu.

Hasil pemeriksaan pada jam 11 malam mendapati dua lori dikesan cuba membawa masuk keluaran pertanian itu dari negara jiran tanpa permit import dan sijil fitosanitasi dari negara asal

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Pakianathan dalam kenyataan medianya berkata, semua keluaran pertanian itu bernilai bernilai RM1,176.

“Semua bunga ros dan buah mangga itu dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang ditetapkan.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Katanya, penahanan barangan itu bagi mengekang kemasukan serangga perosak.

“Sekiranya serangga perosak ini terlepas ke negara ini boleh menyebabkan industri pertanian negara terjejas.

“Ia boleh menyebabkan pengusaha tanaman pertanian menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak di kawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 9:34 AM