PENGUAT kuasa Maqis merampas belangkas cuba diseludup masuk di Lumut. FOTO Ihsan Maqis
PENGUAT kuasa Maqis merampas belangkas cuba diseludup masuk di Lumut. FOTO Ihsan Maqis
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk 466 kilogram (kg) belangkas daripada Indonesia di Pintu Masuk MAQIS Pelabuhan Lumut, di sini, semalam.

Belangkas yang dianggarkan bernilai RM4,660 itu ditemui dalam lapan tong hasil pemeriksaan tong ikan dari kapal import.

Pengarah Maqis Perak Rozita Superman berkata, belangkas itu diletakkan dalam tong sama di bawah timbunan ikan bagi mengaburi pegawai penguat kuasa.

Menurutnya, belangkas itu tidak mempunyai permit import yang sah dikeluarkan oleh Maqis.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan Maqis adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(2) akta sama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan di pintu masuk negara dengan teliti untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 4:26 PM