USTAZ Hanafiah menyerahkan pelindung muka kepada wakil Hospital Selayang. Foto Ihsan Hanafiah Malek
USTAZ Hanafiah menyerahkan pelindung muka kepada wakil Hospital Selayang. Foto Ihsan Hanafiah Malek
Suraya Roslan


MENYEDARI keperluan pelindung muka untuk barisan hadapan bagi mencegah jangkitan Covid-19, pendakwah terkenal, Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali Ustaz Hanafiah bersama pasukannya, Sifu Bikerz tampil menghulurkan bantuan.

Menurutnya, mereka melakukan tanggungjawab sosial membantu menghasilkan pelindung muka buatan sendiri dengan menggunakan penutup plastik, span, getah dan stapler.

“Setiap hari kami menghasilkan 2,000 pelindung muka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Setakat hari ini, sebanyak 17,200 pelindung muka dihasilkan dan diserahkan kepada semua hospital di Semenanjung bermula 24 Mac lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Hanafiah yang juga alumni International Visitor Leadership Program (IVLP) anjuran Kedutaan Amerika di Malaysia berkata, pihaknya menyerahkan lebih 600 hingga 1,000 pelindung muka kepada hospital terpilih.

“Kami anggarkan satu hospital memerlukan sekurang-kurangnya 500 pelindung muka pakai buang sehari,” katanya. Malah, pelindung muka ini akan dihantar ke hospital yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dengan 15 tenaga kerja terdiri daripada sukarelawan, kami merancang sasaran 100,000 pelindung muka dapat dihasilkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Hanafiah berkata, pasukan itu bermula dengan empat sukarelawan daripada kelab berkenaan yang berpangkalan di sebuah rumah di Taman Belian, Gombak.

“Semua sukarelawan mempunyai prosedur operasi standard yang ketat untuk diikuti sebelum dibenarkan masuk ke premis.

“Setiap orang perlu menjalani pemeriksaan Covid-19 untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kami,” katanya.

Kelab itu bekerjasama dengan pengasas Eco Riths Travel, Datuk Rithsman Mohamed, yang menguruskan dana yang disumbangkan oleh orang ramai.

Hanafiah berkata, setakat ini hospital yang sudah menerima pelindung muka buatan mereka adalah Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Hospital Klang, Hospital Jempol, Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang malah turut diedarkan kepada Angkatan Pertahanan Awam.

Tambahnya, harga pasaran untuk sekeping pelindung muka menelan belanja sekurang-kurangnya RM8 dan hanya boleh digunakan sekali.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 2:45 PM