GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sekatan rentas negeri tidak sesuai dilakukan semula bagi membendung peningkatan kes Covid-19 selepas tiga negeri mencatatkan peningkatan jumlah kes, sebaliknya masyarakat itu sendiri perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun diakui ada sedikit peningkatan kes Covid-19 di beberapa negeri selepas kebenaran rentas negeri, ia dilihat tidak terlalu serius.

Menurutnya, mereka yang dijangkiti Covid-19 itu berada pada kategori 1, 2 dan 3 sahaja disebabkan masih ada yang tidak mengikut SOP ditetapkan kerajaan menyebabkan berlaku peningkatan kes.

"Namun bagi saya walaupun dilihat ada sedikit peningkatan kes, buat masa ini tidak sesuai untuk menarik kembali sekatan rentas negeri kerana kebenaran itu baru diberikan.

"Sebaliknya orang ramai perlu mengambil suntikan vaksin selengkapnya supaya dapat mengelak penularan Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas tiga negeri mencatatkan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 bagi minggu ke-41 iaitu antara 10 hingga 16 Oktober lalu sejak kerajaan menarik semula sekatan rentas pada 11 Oktober lalu.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan jumlah kes sebanyak 7.8 peratus, Putrajaya (3.3 peratus) dan Negeri Sembilan (4.1 peratus).

Bagaimanapun, katanya, peningkatan itu, belum sampai ke tahap melumpuhkan sistem kesihatan negara dan hanya sekadar amaran awal malah kerajaan tiada perancangan melaksanakan semula sekatan rentas negeri kerana ia baharu sahaja ditarik semula.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan Dan Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, memang sudah dijangka apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan akan berlakunya sedikit peningkatan kes Covid-19.

"Covid-19 ini ia perlukan pembawa dan kitalah (orang ramai) yang menggerakkannya (jangkitan) apabila orang ramai bergerak tanpa menjaga SOP makan kes akan berlaku turun naik bergantung kepada tahap kesedaran masing-masing.

"Nasihat saya apabila sudah diberi kelonggaran ini jika mereka ingin membuat kenduri kecil, pertemuan ahli keluarga, alumni dan sebagainya lebih elok membuat ujian saringan kendiri terlebih dahulu lagipun sekarang sudah mudah serta murah dengan hanya mengambil masa 15 minit sahaja untuk mendapat keputusannya," katanya.

Hanafiah berkata, sekurang-kurangnya apabila sudah membuat saringan awal akan dapat mengelak daripada berlaku jangkitan sebab perlu difahami, walaupun tidak bergejala tetapi mereka masih boleh menjangkiti dan mereka yang sudah divaksin tetap boleh menjadi pembawa virus itu.

"Saya juga setuju tidak sesuai untuk menyekat semula pergerakan rentas negeri sebaliknya hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang tinggi kes itu," katanya.

Mengulas mengenai banjir pula, Zainal Ariffin berkata, mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) perlu menjaga SOP ditetapkan bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19.

"Selain itu mangsa banjir ini juga perlu dipastikan lengkap divaksinasi dan jika belum divaksin perlu disuntik bagi mengelak risiko berlaku jangkitan.

"Apa yang penting mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, perlu pastikan PPS itu tidak bersesak dan kurangkan jumlah orang yang tinggal di PPS supaya tidak terlalu padat yang membolehkan berlaku jangkitan," katanya.

Hanafiah pula berkata, kekalkan SOP sedia ada cuma ditambah satu lagi dengan menjalankan ujian saringan terlebih dahulu sebelum mangsa banjir ditempatkan di PPS.

"PPS ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu satu bahagian menempatkan mereka yang positif Covid-19 dan satu lagi bagi mereka yang tiada jangkitan itu manakala pesakit yang tidak stabil ditempatkan di pusat kuarantin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:08 PM