Hanafiah ketika Bengkel Pemantapan Wanita Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Hanafiah ketika Bengkel Pemantapan Wanita Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menghantar kira-kira 1,000 sukarelawan daripada pelbagai agensi bermula minggu depan bagi membantu mangsa banjir di Pahang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, misi bantuan berkenaan bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana itu.

Menurutnya, pihaknya berharap semua agensi dapat bersama-sama turun padang dan menjayakan misi berkenaan.

"Bermula Selasa depan, saya berharap semua agensi dapat turun memberi sumbangan dan bantuan bagi membersih rumah serta menyalurkan barangan keperluan dapur.

"Jadi saya berharap semua agensi yang dinaungi kerajaan negeri dapat turun bersama-sama ke sana untuk membantu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Wanita Terengganu, di sini, semalam.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu melahirkan rasa bersyukur apabila banjir gelombang kedua di Terengganu pulih sepenuhnya semalam.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua penduduk sentiasa peka dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Dalam banjir gelombang kedua bermula Jumaat lalu menyebabkan tiga daerah terjejas membabitkan Setiu, Dungun dan Kemaman.

Daripada jumlah itu, seramai 423 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan enam di Kemaman, Dungun (tiga) dan Setiu (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 11:50 AM