KUCING diberi makanan oleh sukarelawan dan seorang ahli BAWSS menyediakan air untuk haiwan jalanan. FOTO Ihsan BAWSS.
KUCING diberi makanan oleh sukarelawan dan seorang ahli BAWSS menyediakan air untuk haiwan jalanan. FOTO Ihsan BAWSS.
Rafiqah Dahali


TIDAK sanggup membiarkan kucing dan anjing jalanan kelaparan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang pengurus alam sekitar sanggup turun padang untuk memberi makanan kepada anjing dan kucing jalanan.

Tracy Hilda Dukim, 35, yang juga Setiausaha Borneo Animal Welfare Society Sabah (BAWSS) berkata, dia dan ahlinya mendapati semakin banyak haiwan jalanan ditemui dalam keadaan kurus dan sakit sepanjang tempoh PKP.

“Kebanyakan haiwan dijumpai dalam keadaan semakin kurus, malah ada sebahagiannya sakit.

“Ini kerana majoriti restoran yang dibuka tidak mempunyai lebihan makanan, jadi kucing dan anjing ini bergantung pada sisa makanan yang dijumpai.

“Semakin panjang tempoh PKP, semakin kurang makanan yang dijumpai kucing dan anjing jalanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disebabkan itu, Tracy dan ahli BAWSS meneruskan inisiatif mereka untuk turun memberi makan kepada kucing dan anjing jalanan secara berkala dan konsisten dalam tempoh PKP.

“Semua ahli BAWSS termasuk saya padang untuk memberi makanan kepada haiwan ini terutama di sekitar Penampang dan kawasan kedai di Donggongon.

“Setiap daripada kami mempunyai lokasi masing-masing, ada di antara kami memberi makan antara 7 hingga 9 pagi, dan sebahagiannya cenderung memberi makan antara 4 hingga 6 petang,” katanya.

Menurutnya, mereka jarang memberi makanan pada waktu tengah hari kerana selalunya haiwan ini bersembunyi kerana panas atau sedang tidur.

“Selain menggunakan duit sendiri, kami juga biasanya menerima sumbangan makanan seperti ayam untuk anjing jalanan.

“Beberapa rakan baik juga mendermakan makanan kering untuk anjing dan kucing,” katanya.

Tracy berkata, dia dan ahli BAWSS turut melakukan operasi menyelamat kucing dan anjing jalanan bagi sesetengah situasi kecemasan.

“Semua ahli jawatankuasa mempunyai tempat perlindungan haiwan di rumah masing-masing iaitu dua di Penampang serta satu di Putatan dan Kingfisher, selain tempat perlindungan anjing jalanan tua di Tuaran.

“Disebabkan tinggal di kawasan perumahan, kami hanya boleh menyimpan sekitar lapan hingga 10 anjing pada satu-satu masa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 5:37 PM