Nazdy Harun


Marang: Suami isteri sanggup berbelanja hampir RM1,000 sebulan untuk menjaga 25 ekor kucing terbiar selain memberi rawatan dan makanan kepada haiwan berkenaan yang berada di jalanan.

Mohammad A'Imisyafiq Rohaimi, 30, dari Pekan Bukit Payong, di sini, berkata dia bersama isteri Nur Adilah Nasarudin, 28, memberi fokus membantu kucing jalanan sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mengambil inisiatif untuk memberi makan kepada kucing jalanan kerana bimbang haiwan itu tidak mempunyai makanan.

Katanya, mereka memberi fokus terhadap kucing-kucing yang berada di pasar dan kawasan sekitarnya dengan memberi makanan selain membawa pulang kucing yang sakit.

"Saya akan menghantar kucing yang sakit ke klinik veterinar sebelum menempatkan haiwan berkenaan di rumah sehingga ianya betul-betul sihat.

A'Imisyafiq, bersama isteri, sedang melakukan rutin harian menjaga kucing jalanan yang dipelihara di rumahnya. FOTO NAZDY HARUN
A'Imisyafiq, bersama isteri, sedang melakukan rutin harian menjaga kucing jalanan yang dipelihara di rumahnya. FOTO NAZDY HARUN

"Selepas sihat, kucing berkenaan dihantar semula ke klinik veterinar untuk divaksin dan akan dibawa pulang ke rumah untuk memantau kesihatan haiwan berkenaan.

"Bagi kucing-kucing yang sesuai, saya akan membelanya di rumah, manakala yang tidak sesuai terutama sering bergaduh akan dihantar ke tempat asal selepas sembuh," katanya.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, kira-kira 200 ekor kucing jalanan sudah diberi rawatan antaranya membabitkan penyakit seperti kurap, kutu, cacing dan sakit mata.

Katanya, mereka kini mempunyai 15 sangkar yang menempatkan 25 ekor kucing. "Alhamdulillah, walaupun mengeluarkan perbelanjaan agak besar kerana hanya berniaga kecil-kecilan, saya yakin dengan rezeki yang ada," katanya.

Katanya, dia dan isteri selain keluarga sememangnya gemar membela kucing sekali gus memudahkan mereka berbakti kepada kucing jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 4:41 PM