Oleh Redzuan Muharam


Langkawi: "Biar saya yang berlapar, jangan haiwan," kata personaliti TikTok, Muhammad Faiz Basirun.

Muhammad Faiz, 20, yang menetap di Kampung Kumpulan A, di sini, menarik perhatian netizen kerana sering berkongsi rutinnya memberi makan kepada anjing liar.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Faiz mengakui dirinya adalah pencinta haiwan sejak kecil.

Katanya, aktiviti memberi makanan kepada haiwan terutama kucing jalanan dan anjing liar juga sudah dilakukan sejak di bangku sekolah, cuma kini lebih serius malah menjadi kemestian setiap hari.

"Saya pernah memelihara lima kucing namun semuanya mati kerana jangkitan virus Parvo dan lain-lain punca.

"Sejak itu, saya tidak bela kucing namun masih beri makanan jika ternampak di jalanan.

"Saya juga suka beri makanan kepada anjing, cuma mula serius sejak Ramadan lalu selepas dihampiri sekumpulan anjing liar ketika makan di satu kawasan.

"Mulanya tidak berani juga namun keadaan anjing itu yang nampak kurus, tidak terurus dan seperti mahu memberitahu lapar membuatkan saya tidak sampai hati hingga akhirnya membantunya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, aktiviti memberi makan kepada kumpulan anjing liar dilakukan setiap hari dan setakat ini dia belum pernah dicederakan.

Sebaliknya, katanya, kumpulan anjing itu jinak dengannya dan setiap kali memberi makan, dia akan merakam video untuk kenangan dan memuat naiknya di TikTok.

"Pada awalnya saya rakam dan kongsi di TikTok untuk suka-suka sahaja tetapi tidak sangka pula video itu dapat perhatian hingga meraih tontonan tinggi.

"Ramai turut sama berminat untuk membantu anjing itu dengan memberi wang dan tidak kurang juga menghantar makanan ke rumah namun yang buat saya lebih terharu apabila Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan untuk membantu serta bertemu saya tiga bulan lalu.

"Boleh dikatakan, 95 peratus komen diterima di TikTok positif tetapi ada juga kecaman daripada segelintir individu yang mempertikai tindakan saya yang dilihat lebih cenderung beri makanan kepada anjing dan bukannya kucing.

"Sedangkan saya buat begitu kerana tidak ramai mahu membantu anjing malah melihatnya sebagai haiwan yang agresif dan boleh mencederakan.

"Kesannya anjing liar itu kelaparan dan salah satu sebab juga ia berkeliaran serta mendekati manusia," katanya yang pernah menyambung pengajian Diploma Pengurusan Maklumat di Universiti Teknologi Mara namun berhenti sebelum tamat semester satu kerana menjaga neneknya, Che Dah Zakaria yang sudah meninggal dunia, April lalu.

Menurutnya, dia bersyukur kerana rezekinya murah selepas dikenali apabila tidak hanya menerima tawaran membuat ulasan produk berbayar tetapi juga peluang berlakon drama dan mengacara.

Katanya, peluang itu tidak mungkin diperoleh tanpa sokongan pengikut di TikTok.

"Syukur kepada Allah dan saya percaya anjing liar yang pernah dibantu juga mungkin menjadi asbab saya dapat rezeki sebegitu rupa dan dikenali ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 1:01 PM
MUHAMMAD Faiz Basirun suka memberi makanan kepada anjing liar. FOTO Ihsan Muhammad Faiz
MUHAMMAD Faiz Basirun suka memberi makanan kepada anjing liar. FOTO Ihsan Muhammad Faiz