.Jenkaut yang digunakan untuk melombong emas secara haram yang disita di Hutan Simpan Ibam. FOTO Mohd Rafi Mamat
.Jenkaut yang digunakan untuk melombong emas secara haram yang disita di Hutan Simpan Ibam. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SEKUMPULAN individu sanggup bergadai nyawa mencari emas menggunakan terowong bawah tanah di Kompartmen 219 Hutan Simpan Ibam, di Muadzam Shah.

Kegiatan itu terbongkar selepas anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 68 tahun ketika melakukan aktiviti itu, 1.15 petang, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, siasatan mendapati kegiatan terbabit dipercayai didalangi beberapa individu lain yang mahir melakukan aktiviti mencari emas, namun ketika serbuan dilakukan hanya seorang sahaja berada di situ.

Menurutnya, selain kesalahan berada dalam hutan simpan tanpa permit, individu terbabit juga bersalah kerana melakukan aktiviti cari gali emas tanpa kebenaran dan akan didakwa mengikut Seksyen 32 dan 47, Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, pelbagai peralatan mencari gali emas di rampas antaranya enjin kuasa elektrik, enjin pam air, jengkaut dan dua motosikal, termasuk mesin pengasingan emas.

“Siasatan juga mendapati kegiatan berkenaan baru dijalankan dan mereka menggunakan pelbagai kelengkapan moden, saya yakin pihak terbabit memiliki kemahiran serta pengalaman luas melakukan aktiviti mencari emas.

“Pihak terbabit sanggup mengeluarkan modal yang besar menyediakan pelbagai kelengkapan untuk menjalankan kegiatan salah itu yang turut mengundang kemusnahan hutan simpan,” katanya dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati kaedah terowong bawah tanah digunakan sindiket berkenaan bagi mendapatkan lebih banyak hasil, walaupun kaedah itu amat merbahaya kerana terdedah kejadian tanah runtuh.

Katanya, semua barangan yang rampasan disimpan di Pusat Simpanan Barangan Rampasan JPNP di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Mentakab, sementara lelaki yang ditahan direman 14 hari untuk tujuan siasatan.

“Walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan, namun anggota penguat kuasa seluruh negeri bertugas seperti biasa melakukan rondaan di lokasi panas bagi membendung kegiatan mencuri balak dan aktiviti melombong emas secara haram.

“Sepanjang PKP empat kes melombong emas secara haram di Hutan Simpan Aur Gading dan Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis serta terbaharu di Hutan Simpan Ibam berjaya ditumpaskan, manakala tiga individu berjaya diberkas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 11:38 AM