PELAJAR UUM yang tidak sempat pulang ke kampung  belajar menjahit sendiri penutup hidung dan mulut menggunakan kain. FOTO Ihsan UUM
PELAJAR UUM yang tidak sempat pulang ke kampung belajar menjahit sendiri penutup hidung dan mulut menggunakan kain. FOTO Ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


MENYEDARI sukar mendapatkan penutup hidung dan mulut di pasaran, seramai 330 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) menjahit sendiri kelengkapan itu untuk kegunaan dalam kampus.

Pengetua Inapan Siswa (INASIS) MAS dan TNB UUM, Dr Rohani Abdullah berkata, usaha menghasilkan kelengkapan itu dibuat berbincang bersama staf dan penuntut yang berada di kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, mereka kemudian bersetuju menjahit sendiri penutup hidung dan mulut bagi kegunaan warga UUM, sekali gus dapat mengisi masa lapang penuntut yang tidak pulang ke kampung.

“Dalam situasi ketika ini, penuntut yang tinggal dalam kampus sukar mendapatkan bekalan penutup hidung dan mulut selain harganya pula tinggi.

“Jadi kami mengambil inisiatif mengajar mereka menjahit sendiri penutup hidung dan mulut menggunakan kain perca,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, penuntut Izwanina Jemain, 21, berkata proses memotong dan menjahit penutup hidung dan mulut menjadi mudah apabila mendapat bimbingan kakitangan UUM yang mempunyai asas dalam jahitan.

Katanya, proses menyediakan penutup hidung dan mulut tidak mengambil masa yang lama dan kosnya juga murah.

“Penutup hidung dan mulut dapat dihasilkan dalam pelbagai corak tanpa memerlukan kos tinggi, cukup sekadar mempunyai kain, jarum, gunting dan benang sahaja.

“Selepas belajar cara menjahit, kami boleh menjahit sendiri di bilik masing-masing dan menjadi kemahiran baharu sepanjang PKP,” katanya.

Setakat ini, terdapat kira-kira 4,000 pelajar yang ditempatkan di 15 INASIS UUM sejak PKP dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 7:24 PM