UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM).
UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM).
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berada dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihatkan menangguhkan perjalanan pulang ke kampus sehingga 1 Jun depan.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pelajar yang menjalani arahan kuarantin, memakai gelang merah jambu atau ahli keluarga yang tinggal serumah memakai gelang merah jambu juga diminta menangguhkan perjalanan kembali ke kampus sehinggalah tempoh selesai.

Katanya, nasihat itu dibuat selaras dengan pelaksanaan PKPD yang membabitkan beberapa negeri.

"Bagi pelajar yang tidak terbabit dan membeli tiket bas sewa khas, menaiki kenderaan sendiri atau dihantar oleh ibu bapa, mereka dibenarkan kembali ke kampus mengikut tarikh ditetapkan.

"Namun mereka perlu terus ke Pusat Isolasi di Bukit Kachi bagi tujuan kuarantin selama 10 hari sebelum dibenarkan memasuki kampus atau Inapan Siswa (INASIS) masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Bashawir berkata, pengurusan universiti amat berharap agar semua warga kampus mengamalkan norma baharu serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan universiti agar rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD selama 14 hari di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra mulai 18 Mei serta 28 mukim di daerah Kota Setar bermula 19 Mei 1 Jun depan.

Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di beberapa kawasan membabitkan Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Sarawak dan Sabah bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 10:53 AM