Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah. FOTO Ihsan UUM
Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah. FOTO Ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Isu tempat tinggal membabitkan lebih 17,000 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) selesai, minggu lalu selepas mereka ditempatkan di 15 Inapan Siswa (Inasis) masing-masing.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, selain Inasis atau kolej kediaman, terdapat penuntut yang menghuni kemudahan penginapan tambahan di kawasan Perumahan Sisiran Naib Canselor UUM dan Perumahan Sisiran Sintok

UUM.

Turut termasuk Perumahan Taman Universiti UUM dan rumah universiti di dalam kampus.

"Penempatan diberi kepada semua penuntut termasuk penuntut semester kelapan dan berikutnya atau dengan kata lain, penuntut yang lebih empat tahun daripada tempoh biasa pengajian.

"UUM juga akan menyediakan penempatan kepada 500 penuntut rayuan yang akan mula mendaftar pada 1 November ini.

"Keseluruhannya, kesemua penuntut yang memohon penginapan iaitu seramai 17,708 orang memperoleh penginapan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat pihak yang mendakwa kira-kira 1,000 penuntut UUM tidak ditawar penginapan bagi memulakan sesi pengajian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 9:56 AM