MOHAMMAD Hamidan (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian rampasan rokok putih yang bernilai RM11.3 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas Gelang Patah. FOTO OMAR AHMAD
MOHAMMAD Hamidan (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian rampasan rokok putih yang bernilai RM11.3 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas Gelang Patah. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan seludup masuk 10.3 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM11.3 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini, Rabu lalu.

Pengarah JKDM Johor, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, hasil pemeriksaan mendapati rokok berkenaan dibawa menggunakan sebuah kontena yang dilabelkan membawa alat ganti kenderaan pada jam 4 petang.

Katanya, rampasan itu adalah kejayaan ke empat sejak Januari tahun ini.

“Sebanyak 1,030 karton rokok putih dirampas dengan nilai RM4.12 juta membabitkan nilai cukai keseluruhan sebanyak RM7.21 juta.

“Seorang ejen penghantaran lelaki warga tempatan berumur 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM25,000,” katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah di sini, hari ini.

Menurut Mohammad, kesemua rokok dipercayai dibawa masuk dari China untuk pasaran dalam negeri dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (G), Akta Kastam 1967.

#kw rokok, seludup, kastam, tanjung pelepas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 5:09 PM