MOHAMMAD Hamiddan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO Mohd Sabran Md Sani.
MOHAMMAD Hamiddan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO Mohd Sabran Md Sani.
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok membabitkan nilai keseluruhan termasuk cukai RM8.547 juta, pada 24 Disember lalu.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, rampasan hasil kejayaan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah yang memeriksa sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 4.15 petang.

“Pasukan Penguatkuasaan Gelang Patah menerima maklumat daripada Pasukan Risikan Zon Selatan dan Cawangan Pelabuhan Tanjung Pelepas berkenaan sebuah kontena disyaki dari China yang didaftarkan membawa perabot.

“Hasil pemeriksaan rapi mendapati 10.5 juta batang rokok putih bernilai RM1.470 juta membabitkan nilai cukai RM7.077 juta," katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata, tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Mohammad Hamiddan berkata, isu alat pengimbas rosak dikenal pasti antara punca aktiviti penyeludupan rokok dari China.

“Bagi tujuan itu, kerajaan akan membeli 80 unit alat pengimbas di seluruh negeri ini yang dijangka dilaksanakan pada Jun ini.

“Terdapat satu unit alat pengimbas di PTP ketika ini yang sudah berusia 16 tahun dan perlu digantikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 5:56 PM