Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok kretek dan putih bernilai RM12.49 juta termasuk cukai, dalam dua serbuan berasingan di Gelang Patah.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, rampasan terbesar itu hasil maklumat Cawangan Risikan Zon Selatan yang mengesan aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.

Katanya, serbuan pertama di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada 15 Disember lalu ke atas sebuah kontena yang membuat pengikraran Borang Kastam 1 (K1) mencurigakan.

“Pemeriksaan dilakukan anggota bertugas mendapati kontena yang ikrar diikrar perabot dari China itu, diisi dengan 10.3 juta batang rokok putih berjenama bernilai RM11.33 juta.

“Untuk itu lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu ditahan untuk siasatan sebelum dibenar jaminan RM20,000,” katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah, hari ini.

MOHAMMAD Hamiddan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
MOHAMMAD Hamiddan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO Mohd Azren Jamaludin.

Mohammad Hamiddan berkata, Cawangan Eksport JKDM Gelang Patah pula menahan sebuah lori bermuatan di Bay Pemeriksaan Cawangan Eksport Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pada 7 pagi, 23 Disember lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori mendapati terdapat lapan palet yang dibalut plastik dilapisi ‘polister’, namun enam daripadanya mengandungi kotak berisi 2.38 juta batang rokok putih dan kretek bernilai RM1.162 juta.

“Hanya dua palet sahaja mengandungi barang diikrarkan seperti Borang Eksport Kastam (K2) iaitu kepingan plastik untuk eksport ke Singapura,” katanya.

Katanya, lelaki tempatan berusia 68 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan dilepas dengan jaminan RM30,000.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 5:03 PM