Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup kayu, batu kuarsa dan rokok bernilai RM16.911 juta dalam dua serbuan berasingan di Iskandar Puteri, pada 1 dan 7 Januari lalu.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya merampas kayu cendana merah atau ‘red sandalwood’ dan batu kuarsa atau ‘quartz’ diseludup dari India.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah di Bay Pemeriksaan Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri, pada 1.30 tengah hari, 1 Januari lalu.

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai enam kontena membawa barang mencurigakan dari India di pelabuhan itu dan pemeriksaan mendapati satu daripada kontena itu memuatkan barangan tidak diikrar.

“Kontena itu muatan kayu cendana merah dan batu kuarsa. Pengimportannya memerlukan permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa di Malaysia.

“Jumlah kayu cendana merah membabitkan 453 batang bersamaan 15,200 kilogram dengan nilai RM7.6 juta, manakala batu kuarsa bernilai RM837,770 bersamaan 137,950 kilogram.

“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM8.437 juta,” katanya pada sidang media di Cawangan JKDM PTP di Iskandar Puteri, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor, Nur Afifah A Rahman.

HAMIDDAN (empat dari kiri) bersama Nur Afifah (kiri) menunjukkan sebahagian rokok, kayu dan batu kuarsa yang dirampas. FOTO Hairul Anuar Rahim
HAMIDDAN (empat dari kiri) bersama Nur Afifah (kiri) menunjukkan sebahagian rokok, kayu dan batu kuarsa yang dirampas. FOTO Hairul Anuar Rahim

Dalam serbuan berasingan 7 Januari lalu, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah merampas 52,050 karton rokok bernilai RM8.4 juta.

Mohammad Hamiddan berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diikrar sebagai perabot, sebaliknya ia mengandungi rokok seludup.

“Tiada tangkapan dilakukan dalam kedua-dua serbuan itu dan kes dikategorikan sebagai kes rampasan.

“Mengenai rampasan kayu cendana merah dan batu kuarsa itu, penyeludup menjadikan negara ini sebagai transit sebelum barangan itu dipercayai diseludup ke China,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 2:16 PM