Nurul Amanina Suhaini


DUA serbuan berasingan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, baru-baru ini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 76.4 juta batang rokok putih bernilai lebih RM65 juta sekali gus rampasan terbesar setakat ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, rampasan pertama susulan kejayaan serbuan Cawangan Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah di PTP pada 28 Januari lalu.

Katanya, sebuah kontena berukuran 12.19 meter diperiksa pada jam 4 petang selepas disyaki membuat pengisytiharan sebagai perabot kayu (Wood Furniture) dalam ‘Bill of Lading’ dan Manifes (K6), selain manifes menunjukkan dagangan itu adalah dagangan pindah kapal yang berasal dari negara China.

“Hasil maklumat Cawangan Risikan Zon Selatan dan JKDM Pelabuhan Tanjung Pelepas, kontena dipercayai berada di pelabuhan terbabit sejak kira-kira sebulan lalu mengandungi beberapa unit perabot dan kotak yang mengandungi rokok putih.

“Jumlah rokok yang dirampas sebanyak 11,040 kilogram bersamaan 69,000 karton (13,800,000 batang) dengan anggaran keseluruhan termasuk cukai bernilai lebih RM10 juta,” katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah di sini, hari ini.

DATUK Seri Paddy (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok seludup bernilai RM65.4 juta selepas mengadakan sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah. FOTO Zain Ahmed
DATUK Seri Paddy (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok seludup bernilai RM65.4 juta selepas mengadakan sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah. FOTO Zain Ahmed

Paddy berkata, dalam kes kedua Cawangan Penguatkuasaan Kastam Johor membuat pemeriksaan ke atas enam kontena selepas disyaki membuat pengisytiharan sebagai puntung rokok (Filter Rod) dalam ‘Bill of Lading’ berukuran sama pada jam 4.35 petang, 3 Februari lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan, dagangan yang dihantar dari Vietnam menerusi proses pindah kapal itu mendapati ia diisi dengan muatan rokok putih.

“Jumlah rokok putih yang disita adalah sebanyak 62,640,000 batang rokok dengan anggaran keseluruhan termasuk cukai bernilai lebih RM55 juta.

“Tiada tangkapan dilakukan bagi kedua-dua kes dan kes dikategorikan sebagai kes rampasan, selain kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Kes juga disiasat mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991 yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

JKDM menggagalkan cubaan menyeludup 76.4 juta batang rokok putih bernilai RM65,445,600 dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di Iskandar Puteri Johor. FOTO Zain Ahmed
JKDM menggagalkan cubaan menyeludup 76.4 juta batang rokok putih bernilai RM65,445,600 dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di Iskandar Puteri Johor. FOTO Zain Ahmed

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 1:05 PM