MOHAMMAD Hamidan Maryani (tengah) menunjukkan kayu Guibourtia yang dirampas. FOTO OMAR AHMAD
MOHAMMAD Hamidan Maryani (tengah) menunjukkan kayu Guibourtia yang dirampas. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan penyeludupan barang larangan bernilai RM 9.48 juta dalam lima serbuan dan pemeriksaan akhir bulan lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, kes pertama membabitkan penyeludupan kayu ‘Guibourtia’ pada 19 Februari lalu di Bay Pemeriksaan Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh pasukan risikan zon selatan ke atas sebuah kontena itu menemukan 155 batang muatan kayu Guibourtia seberat 30.5 tan bernilai RM9.174 juta.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kes dikategorikan sebagai kes rampasan. Kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kastam 1967,” katanya.

Rampasan kedua pada 6 petang 20 Februari, anggota Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai membuat serbuan ke atas premis di Taman Nusa Jaya Mas dan pemeriksaan ke atas kenderaan dan premis terbabit menemukan 1,511 botol (1,293 liter) minuman keras.

“Kesemua minuman keras dianggarkan bernilai RM 25,862 serta cukai RM90,413.53. Dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun turut ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 1 Mac lalu mengikut Seksyen 135(1)(b) Akta Kastam 1967, Seksyen 74 (1) Akta Eksais dan Seksyen 3 (1)(a) Akta Memperbaharui Undang-undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Johor di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Hamidan, bagi kes ketiga serbuan dibuat jam 5 petang 23 Februari lalu, anggota penguat kuasa kastam membuat pemeriksaan ke atas dua peti besi berwarna hitam yang terletak di bekalang rumah di Ulu Tiram.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan terdapat dua lelaki warganegara Nepal dan Bangladesh sedang membuka peti itu.

“Hasil pemeriksaan dua peti itu mengandungi 24,496 batang rokok bernilai RM15,966 dan mambabitkan cukai sebanyak RM50,632.02.

“Lokasi serbuan juga dipercayai dijadikan tempat memproses minuman keras tiruan. Individu yang ditahan didakwa di Mahkamah Majisteret Johor Bahru pada 1 Mac lalu,” katanya.

Manakala kes keempat berlaku pada 23 Februari membabitkan serbuan ke atas sebuah premis di Ulu Tiram dan merampas 1,832 batang rokok putih dan kretek RM503 dengan nilai cukai RM3,595

“Serbuan kelima serbuan dilakukan pada 24 Februari lalu di Taman Kota Intan, Kota Tinggi ke atas sebuah kereta dan merampas 142,584 batang rokok bernilai RM27,438 dengan nilai cukai RM96,849,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 7:13 PM