SAKURA kembali bertaburanKEINDAHAN bunga ‘sakura’ Kedah atau bunga tekoma yang kembali memukau di bandaraya Alor Setar. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
SAKURA kembali bertaburanKEINDAHAN bunga ‘sakura’ Kedah atau bunga tekoma yang kembali memukau di bandaraya Alor Setar. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


KEINDAHAN bunga tekoma atau lebih dikenali sebagai ‘sakura’ kembali mewarnai sepanjang jalan di beberapa lokasi sekitar Bandaraya Alor Setar.

Pokok tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Pentaphylla mula mengeluarkan bunga berwarna merah jambu putih sejak Januari lalu dan dijangka berakhir pada April ini.

Pengunjung, Noredayu Dahalan, 42, berkata dia sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil gambar bunga ‘sakura’.

Katanya, keindahan bunga itu sangat memukau selain turut berasa tenang berada di bawah pohon bunga berkenaan.

“Ramai pengguna jalan raya membunyikan hon ketika saya dan rakan merakam pelbagai aksi di bawah pohon bunga ini. Saya sangat teruja dengan keindahan bunga sakura ini,” katanya.

Peniaga air kelapa, Mohd Shakir Shafie, 34, berkata dia memilih menggunakan nama Kelapa Corner Sakura berikutan gerainya ‘dipayungi’ pokok itu.

“Saya baru saja buka gerai air kelapa hujung Januari lalu, bunganya yang gugur menyebabkan ramai pelanggan tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar.

“Ada pelancong dari Singapura juga berhenti di sini untuk mengambil gambar kerana sangat kagum dengan keindahan bunga itu,” katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Telok Kechai, Kuala Kedah, Alor Setar.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar, Datuk Zohdi Saad berkata, pihaknya akan mewujudkan sudut bunga ‘sakura’ Kedah di Kuala Kedah pada Jun depan.

Katanya, sebagai permulaan sebanyak 20 pokok akan ditanam di sudut terbabit iaitu di Taman Sepakat, Jalan Kuala Kedah.

“Kita akan mengadakan pertandingan fotografi di situ dengan harapan ia akan menarik lebih ramai pelancong ke bandar raya ini.

“Sekarang, kita sudah ada sebanyak 2,720 pokok berkenaan. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,181 pokok ditanam di jalan utama seperti di Jalan Kuala Kedah, Jalan Langgar dan Jalan Yan.

“Manakala 1,359 pokok lagi ditanam di taman perumahan sekitar Alor Setar termasuk pusat bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 5:32 PM