Pemandangan bunga Tekoma dari atas berlatar belakangkan Gunung Jerai di tepi Jalan Utama, Sungai Yan.  FOTO Sharul Hafiz Zam
Pemandangan bunga Tekoma dari atas berlatar belakangkan Gunung Jerai di tepi Jalan Utama, Sungai Yan. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


BUNGA sakura lazimnya mekar di Jepun namun di Kedah cuaca panas yang dialami penduduk ketika ini diwarnai dengan fenomena keindahan bunga ‘sakura Kedah’ atau nama sebenarnya bunga tekoma.

Orang ramai ambil kesempatan dengan mengambil gambar di bawah rimbunan pohon bunga berkenaan yang boleh dilihat sekitar bandar raya Alor Setar, daerah Yan sehinggalah ke Tanjung Dawai.

Warna merah jambu dan putih mewarnai sepanjang jalan di kawasan terbabit hingga mempersona siapa saja yang melihatnya.

Nurul Syahirah Seman, 20, dari Kampung Kuala Sungai, Yan, dia sangat teruja menanti pokok tekoma itu berbunga setiap tahun berikutan pemandangannya seperti berada di Jepun.

Katanya, dia merakamkan gambar bersama rakan-rakan dan berkongsi gambar itu di media sosial.

“Ramai rakan dari luar Kedah tanya saya di mana saya ambil gambar itu, mereka sangat teruja ingin tahu lokasi saya merakam gambar, ia sebenarnya tak jauh dari rumah saya.

“Saya bangga jadi orang Kedah, pelbagai pemandangan dan fenomena menarik ada pada musim panas bermula dari jerami gulung, rumput karpet dan sekarang bunga tekoma pula,” katanya.

Orang ramai mengambil kesempatan merakam kenangan di bawah pokok bunga tekoma. FOTO Sharul Hafiz Zam
Orang ramai mengambil kesempatan merakam kenangan di bawah pokok bunga tekoma. FOTO Sharul Hafiz Zam

Guru, Ooi Lee Fen, 36, berkata, dia tidak mahu ketinggalan merakam gambar bunga itu bersama anak perempuannya Loo Thei Ern,10.

“Baru-baru ini saya merakam gambar dengan mengenakan pakaian ala-ala tradisional Jepun di bawah pohon bunga tekoma ini, ia memang cantik cuma bezanya di negara kita ia berbunga pada musim panas,” katanya ditemui di Sungai Yan, Yan di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Kedah, Eliyas Saad ketika dihubungi berkata, keamatan cahaya dan tempoh cahaya panjang akan mempengaruhi kadar proses fotosintesis pokok berkenaan untuk menghasilkan tenaga sekali gus mengeluarkan bunga yang banyak.

Katanya, proses berbunga pokok tekoma tidak dipengaruhi bulan tertentu sebaliknya ia dipengaruhi cuaca panas berpanjangan dan ia dijangka luruh habis dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

“Bunga sudah kelihatan keluar sejak bulan lalu namun ia lebih banyak keluar pada bulan ini, jika hujan, lebih banyak bunga ini luruh.

“Ia memerlukan cahaya panjang antara lapan jam sehari yang ‘menarik’ lebih banyak bunga keluar, fenomena ini juga mencetuskan keunikan tersendiri di Kedah sekali gus menggamit pelancong tempatan merakam kenangan di bawah pokok berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 2:00 PM