ROSLAN. FOTO Khairull Azry Bidin
ROSLAN. FOTO Khairull Azry Bidin
Sri Ayu Kartika Amri

TENAGA Nasional Berhad (TNB) komited membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik di Kuala Lumpur untuk memiliki kediaman lebih sempurna menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB.

Pelaksanaan PMR adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial TNB bagi membantu golongan B40 untuk sama ada membaiki, membeli atau membina rumah masing-masing dengan nilai sumbangan RM50,000.

Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, terkini TNB sudah bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu 12 warga kota kurang berkemampuan bagi memiliki kediaman yang sebelum ini disewa daripada DBKL.

“Memandangkan di Kuala Lumpur agak sukar untuk membina rumah disebabkan kekangan tanah, jadi kami bekerjasama dengan DBKL untuk mencari golongan yang benar-benar memerlukan bantuan ini.

“Kami berharap sumbangan ini menjadi hadiah istimewa untuk tahun ini terutama bagi mereka yang baru menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.

Sejak PMR dilaksanakan pada 2012, sebanyak RM1.26 juta dibelanjakan di bawah program itu bagi membiayai 30 kediaman golongan kurang bernasib baik di Kuala Lumpur.

Di peringkat kebangsan pula, sejumlah 221 kediaman mendapat manfaat di bawah program PMR dengan jumlah sumbangan RM6.97 juta.

Selain PMR, TNB turut melaksanakan bantuan sama yang dinamakan Program Baiti Jannati menyasarkan golongan kurang berkemampuan yang beragama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:04 PM