GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.26 juta daripada wakalah zakat korporatnya bagi program membaiki rumah asnaf anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri tahun ini.

Sumbangan RM1.26 juta TNB itu memberi manfaat kepada 36 penerima dengan setiap kediaman diperuntukkan RM35,000 untuk kos pembaikan dan penerima manfaat dikenal pasti oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ).

Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, pihaknya berterima kasih kepada JAWHAR kerana diberi peluang menjayakan program yang amat besar maknanya kepada penerima.

"Dalam situasi pandemik Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada kehidupan masyarakat, bantuan ini diharap mampu memberi kesan positif untuk jangka masa panjang bagi isi rumah yang dibantu.

"Pembabitan TNB dalam pelaksanaan program MyHAUS tahun ini juga sejajar hasrat syarikat untuk bersama menjayakan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang digariskan kerajaan.

"Kerjasama ini adalah satu daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) TNB yang menfokuskan kepada golongan kurang berkemampuan bagi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program MyHAUS adalah usaha kerajaan dalam menyediakan kediaman lebih selamat dan selesa bagi kumpulan sasar, menerusi pembiayaan dana wakaf.

Dilancarkan pada Ogos 2020, bantuan ini terbahagi kepada beberapa kategori termasuk pembinaan semula, pembinaan baharu, membaik pulih dan membaiki kerosakan rumah.

TNB turut melaksanakan inisiatif sama menerusi program Better Brighter Home@Projek Baiti Jannati dan program Better Brighter Home@Projek Mesra Rakyat (PMR) dengan jumlah peruntukan kos pembiayaan sejumlah RM7.8 juta bagi 2021, membabitkan 156 kediaman yang akan dikenal pasti.

Projek Baiti Jannati (PBJ) disasarkan untuk membaiki, membina dan membiayai pembelian kediaman golongan beragama Islam yang memerlukan, termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan asnaf menggunakan wang zakat TNB.

Manakala, PMR pula yang berperanan membina atau membaik pulih kediaman golongan bukan Islam yang memerlukan.

Kedua-dua PBJ dan PMR dilaksanakan dengan nilai sumbangan RM50,000 setiap kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 4:37 PM