ROZIANIS (kanan) membantu menyediakan makanan untuk berbuka puasa untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
ROZIANIS (kanan) membantu menyediakan makanan untuk berbuka puasa untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

TENAGA Nasional Berhad (TNB) Pahang menyediakan 625 bungkus makanan percuma sebagai juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di beberapa penempatan di Kuantan, semalam.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, program tanggungjawab sosial korporat berkenaan kali kedua diadakan selepas kali pertama pada Ramadan tahun lalu.

Menurutnya, penyediaan nasi dan lauk dilakukan sukarelawan Dapur Infaq Ummah manakala 10 Ahli Persatuan Wanita (Pelitawanis) TNB bergotong-royong membungkus sebelum mengagihkannya.

"TNB menyediakan peruntukan khas bagi menjayakan program bantuan juadah berbuka puasa dan tahun lalu kami membekalkan 300 bungkus makanan sahaja, namun kali ini jumlahnya bertambah sekali ganda.

"Bantuan berbuka puasa ini diharapkan dapat meringankan beban golongan memerlukan di Kuantan, yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan gelandangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:23 PM