AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

TIMBALAN Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa jika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, beliau tidak akan mencadangkan pemberian sumbangan politik RM6 juta kepada Barisan Nasional (BN).

Chew Ben Ben, 63, berkata beliau mencadangkan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif DGB, Datuk Abu Hanifah Noordin bahawa pemberian sumbangan tersebut melalui Ahmad Zahid adalah untuk jangka masa panjang.

Saksi pendakwaan ke-34 itu berkata beliau berjumpa dengan Ahmad Zahid di kediaman rasminya di Seri Satria Putrajaya pada April 2017.

“Ketika itu Ahmad Zahid menceritakan berkenaan perjalanan kerjayanya sebelum menceburi bidang politik. Ahmad Zahid beritahu beliau menghormati syarikat DGB kerana prestasinya yang baik.

“Beliau (Ahmad Zahid) juga beritahu bahawa pilihan raya sudah dekat dan juga keadaan semasa politik dalam negara,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Beliau berkata demikian pada hari ke-17 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berhadapan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Chew yang juga ahli lembaga pengarah DGB berkata pada pertemuan itu, Ahmad Zahid memberitahu beliau akan berjumpa Datuk Seri Najib Razak (ketika itu perdana menteri) untuk berbincang berhubung pilihan raya.

“Pada masa itu saya dapat agak bahawa BN memerlukan wang politik untuk tujuan urusan pilihan raya. Saya bertanya kepada Ahmad Zahid sama ada Hanifah dan saya boleh membuat sumbangan politik kepada BN dan berapa jumlah wang yang diperlukan.

“Ahmad Zahid beritahu ia terpulang kepada saya berhubung jumlah yang mahu diberikan kepada BN,”katanya.

Menurutnya, Ahmad Zahid kemudian mengarahkannya untuk menyediakan cek atas nama Lewis & Co, iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi, milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Chew berkata beliau mencadangkan kepada Hanifah yang juga pemilik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd untuk mengeluarkan wang peribadinya (Hanifah) berjumlah RM6 juta melalui cek yang dikosongkan bahagian penama, untuk diserahkan kepada Ahmad Zahid.

“Saya mencadangkan Hanifah menggunakan wang peribadinya kerana syarikat DGB tidak boleh mengeluarkan wang sumbangan daripada akaun syarikat berikutan perlu mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah DGB,” katanya.

Tambah Chew, syarikat DGB mempunyai enam anak syarikat iaitu Datasonic Technologies Sdn Bhd, Datasonic Corporation Sdn Bhd, Datasonic Smart Solutions Sdn Bhd, Datasonic Inovation Sdn Bhd, Datasonic Manufacturing Sdn Bhd dan Datasonic Digital Sdn Bhd.

Sementara itu, Chew bersetuju dengan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal mewakili Ahmad Zahid bahawa sumbangan politik itu adalah untuk tanggungjawab sosial korporat dan kerja amal.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 4:32 PM