BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini bahawa beliau tidak menyeleweng dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk kepentingan peribadi walaupun beliau adalah pengasas yayasan itu.

Ahmad Zahid, 69, berkata, dana yayasan itu digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan seperti dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) atau objektif YAB.

"Saya tidak boleh menggunakan dana yayasan itu untuk kepentingan peribadi," kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Hamidi Mohd Noh semasa membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah (CBT), lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

Semasa disoal seorang lagi peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal mengenai sama ada bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad Chew Ben Ben memberitahu tujuan cek RM6 juta diserahkan, Ahmad Zahid menjawab "sumbangan politik".

Ahmad Zaidi: Mengapa sumbangan daripada Datasonic yang Datuk Seri (Ahmad Zahid) terima masuk ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co dan tidak buat aktiviti politik daripada sumbangan itu?

Ahmad Zahid: Yang Arif, sebarang sumbangan politik walaupun untuk aktiviti peribadi saya sebagai ahli politik, saya masukkan (sumbangan) ke dalam akaun Lewis & Co sebagai pemegang amanah (YAB) adalah untuk disalurkan kepada aktiviti-aktiviti yang dibenarkan sebagaimana terdapat dalam M&A untuk tujuan atau objektif YAB.

Pada prosiding sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua cek berjumlah RM6 juta yang diterimanya daripada Chew adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan bukannya rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 4:05 PM