Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan mahkamah selepas perbicaraan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. FOTO AIZUDDIN SAAD
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan mahkamah selepas perbicaraan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, dua keping cek yang diterimanya daripada syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd berjumlah RM6 juta bukan rasuah, sebaliknya ia adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Ahmad Zahid berkata, tuduhan terhadapnya bahawa cek itu adalah upah sebagai Menteri Dalam Negeri kerana melantik syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) bagi melaksanakan Perolehan Pembekalan Cip Pasport (kontrak polikarbonat) untuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah tidak benar sama sekali.

Presiden Umno itu menegaskan bahawa tuduhan terhadapnya adalah satu fitnah kerana cek berkenaan merupakan sumbangan politik yang juga sebahagian daripada amal jariah untuk Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Menurutnya, keterangan dua bekas pengurusan tertinggi DTSB di mahkamah, tidak pernah pada bila-bila masa menyatakan cek berkenaan adalah satu upah atau rasuah daripada DTSB bagi dilantik untuk melaksanakan kontrak polikarbonat.

"Saya ingin menegaskan bahawa keputusan untuk melantik DTSB adalah bukan keputusan daripada saya. Saya tidak ada kuasa untuk membuat keputusan akhir kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa berdasarkan proses yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM, penganugerahan projek kontrak polikarbonat kepada DTSB adalah teratur dan menurut prosedur yang ditetapkan.

"Saya menyatakan bahawa semua prosedur sudah dijalankan dengan sempurna oleh pegawai saya di KDN dan diakui oleh Kementerian Kewangan sebelum kontrak terbabit dianugerahkan kepada DTSB.

Ahmad Zahidi berkata, tuduhan ke atasnya menyatakan, Serana Kencana mengeluarkan cek itu yang diterimanya daripada bekas Timbalan Pengarah Urusan DTSB Chew Ben Ben sebagai upah kerana beliau melantik DTSB melaksanakan kontrak polikarbonat.

Menurut Ahmad Zahid, seingatnya ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Jeneral (Bersara) Tan Sri Dr Mohamed Hashim Mohd Ali (bekas Pengarah DTSB) ada mengemukakan surat 'Permohonan Untuk Membekalkan Cip Pasport Selama 5 Tahun Atau 12.5 Juta Cip Yang Akan Dimasukkan Ke Dalam Halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia Kepada Kerajaan Secara Rundingan Terus'.

Beliau berkata, Sarana Kencana adalah milik Mohamed Hashim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad serta bekas Pengarah DTSB Datuk Abu Hanifah Noordin.

Ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid berkata, Mohamed Hashim yang ketika itu Panglima Tentera Darat sudah dikenalinya lebih 20 tahun ketika beliau menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan dan ia bukan kerana pembabitan dalam perniagaan.

Beliau berkata, kontrak secara rundingan terus membabitkan Arahan Perbendaharaan dan juga perolehan dalaman KDN di mana Kementerian Kewangan yang akan menentukan rundingan terus dianugerahkan kepada mana-mana syarikat yang membuat permohonan.

Katanya, perkara itu perlu diputuskan di peringkat Kementerian Kewangan dan bukannya di peringkat Perolehan KDN.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Ben Ben yang juga saksi ke-34 pendakwaan dalam keterangannya, tidak pernah pada bila-bila masa menyatakan bahawa cek berkenaan adalah satu upah atau rasuah daripada DTSB bagi dilantik untuk melaksanakan kontrak polikarbonat.

Beliau berkata, cek itu diberikan kepada Tetuan Lewis & Co dan dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman terbabit yang mana ia adalah sumbangan politik kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 1:35 PM