Ahmad Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 untuk perbicaraan kes rasuah. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahmad Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 untuk perbicaraan kes rasuah. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan cip pasport milik syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) digunakan dalam pembekalan pasport Malaysia.

Perkara itu didedahkan oleh bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abd Aziz Md Nor, 62, yang mengesahkan ada menerima surat mengandungi minit dicatat Ahmad Zahid.

Menurutnya, arahan Zahid ketika itu adalah menggunakan cip milik syarikat rakannya dan beliau turut mengecamkan surat bertajuk ‘Permohonan untuk memulakan bekalan cip pasport bersama in-lay kepada Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) semasa tempoh peralihan kontrak sedia ada selama enam bulan dari 1 Jun hingga 30 Nov 2016 untuk pasport Malaysia Antrabangsa’.

Ketika diminta Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun untuk membacakan minit tersebut pada pemeriksaan utama, saksi membacakan: “Dato Sri KSU (Ketua Setiausaha), sila teliti semula keputusan terdahulu. Gunakan cip syarikat ini sebelum lanjutan kontrak dengan PKN diteliti.”

Saksi ke-33 pihak pendakwaan itu berkata demikian pada hari ke-16 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Gan: Apa pemahaman Datuk tentang minit tersebut?

Abd Aziz: Ini bermaksud kontrak dengan PKN tidak dilanjutkan sebaliknya dirunding dengan syarikat ini (DTSB).

Ketika ditanya Gan, mengapa beliau mengeluarkan arahan untuk menyegerakan Surat Setuju Terima (STT) kepada DTSB, saksi menjawab ia perlu disegerakan kerana keperluan cip pasport sudah sampai tahap mendesak.

Disoal balas peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, sama ada saksi tahu Jabatan Imigresen Malaysia mengalami masalah kekurangan pasport pada 2015 dan Ahmad Zahid meminta percepatkan pembekalan cip, Abd Aziz menjawab “ada, saya rasa.”

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi semasa pemeriksaan semula adakah menjadi kebiasaan menteri memberi arahan untuk menyegerakan sesuatu perkara, Abd Aziz menjawab “ada, tapi tak selalu.”

Ahmad Sazilee kemudian berseloroh dengan berkata: “Kadang-kadang macam cerita P. Ramlee.”

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 5:35 PM