Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dua cek berjumlah RM360,000 dikeluarkan Yayasan Akalbudi yang diasaskannya kepada syarikat TS Consultancy & Resources (TSCR) bertujuan untuk membantu parti Umno mendaftarkan pengundi pada 2015.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mengetahui syarikat berkenaan yang menyediakan khidmat pusat latihan, ditubuhkan atas inisiatif parti terbabit.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan haram dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Raja Rozela kemudian mencadangkan kepada Ahmad Zahid bahawa tertuduh selaku Naib Presiden Umno ketika itu, dikecualikan daripada mendapat maklumat berkenaan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menjawab; "Perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) apatah lagi terhadap saya."

Katanya, beliau juga tidak pernah menerima taklimat berhubung pembiayaan Umno kepada syarikat terbabit.

Raja Rozela: Pada 20 Ogos 2015, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar (pengerusi TSCR) beri taklimat mengenai kedudukan kewangan syarikat itu yang dalam keadaan tenat?

Ahmad Zahid: Dia tidak beritahu perkara itu, cuma dia minta bantuan RM100,000 dan menyatakan jumlah yang diperlukan adalah lebih lagi.

Raja Rozela: Kamu ingat atau tidak keterangan Wan Ahmad bahawa TSC dibiayai oleh wang Ibu Pejabat Umno?

Ahmad Zahid: Tidak tahu.

Raja Rozela: Kamu menyatakan tidak tahu kewujudan TSC ketika cek ini dikeluarkan?

Ahmad Zahid: Saya dapat tahu bila dia jelaskan kepada saya, saya tidak tahu bila, sama ada sebelum atau selepas cek dikeluarkan.

Raja Rozela: Saya katakan cek ini telah dikeluarkan kepada Datuk Seri. Saya cadangkan ketika cek dikeluarkan kamu sudah tahu mengenai kewujudan TSC?

Ahmad Zahid: Itu berdasarkan keterangan Wan Ahmad.

Raja Rozela kemudian mencadangkan bahawa Wan Ahmad tiada sebab untuk berbohong apabila menyatakan Ahmad Zahid mengetahui tujuan penubuhan TSC, bagaimanapun Ahmad Zahid memberitahu beliau hanya mengetahui Wan Ahmad berhasrat membuat amal jariah melalui percetakan al-Quran.

Ahmad Zahid menjelaskan, Wan Ahmad memberitahunya tujuan meminta bantuan adalah ke arah itu (percetakan al-Quran).

Katanya, beliau tidak terfikir bahawa Wan Ahmad yang juga bekas pegawai khasnya mempunyai perasaan terhutang budi kepadanya apabila dikekalkan perkhidmatan dan dinaikkan pangkat daripada Jusa B kepada Jusa selepas mengemukakan rayuan.

"Saya menyatakan pembayaran RM360,000 yang dibuat Yayasan Akalbudi kepada TSC adalah bagi tujuan pembayaran percetakan al-Quran selari dengan Memorandum & Artikel pertubuhan yayasan," katanya.

Disoal mengenai pemberian cek RM10 juta oleh Yayasan Akalbudi kepada syarikat kontraktor Armada Holdings Sdn Bhd bagi membekal arang batu dari Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mengetahui Armada belum diperbadankan ketika cek dikeluarkan.

Bagaimanapun beliau bersetuju bahawa kaedah penilaian (due diligence) yang dibuat yayasan Akalbudi sebelum membuat pelaburan dalam Armada, adalah tidak lengkap.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bagi membincangkan projek arang batu itu pada Oktober 2015.

Beliau berkata, Wasi menjelaskan dalam pertemuan itu, Armada berhasrat untuk menjadi pembekal arang batu kepada syarikat subsidiari TNB manakala Khalid memperincikan caj dikenakan oleh TNB kepada Armada untuk didaftarkan sebagai kontraktor.

Katanya, wang RM10 juta itu adalah untuk tujuan pelaburan.

"Saya tidak kenal Datuk Wasi tetapi yang kenal Datuk Wasi ialah Datuk K (Khalid) dan Datuk K bukan pemegang saham serta pengarah syarikat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 5:26 PM