PENGUNJUNG memakai topeng mulut bagi langkah langkah berjaga ekoran penularan wabak penyakit berjangkit  Novel Coronavirus (2019-nCoV) yang menular seluruh dunia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PENGUNJUNG memakai topeng mulut bagi langkah langkah berjaga ekoran penularan wabak penyakit berjangkit Novel Coronavirus (2019-nCoV) yang menular seluruh dunia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mohd Roji Kawi


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menghalang 42 pelawat luar negara memasuki negeri ini dalam tempoh 1 Februari hingga 7 pagi, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, tindakan itu diambil hasil saringan rekod perjalanan mereka ketika masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang Miri dan Lapangan Terbang Mulu.

Selain itu, saringan rekod perjalanan turut diadakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Biawak, Lundu; Sungai Tujoh, Miri dan Mengkalap di Limbang.

“Daripada 42 pelawat itu, 22 orang adalah warga China, Hong Kong (7), Indonesia, (6) Brunei (4) dan masing-masing seorang dari Britain, Jepun dan Singapura.

“Mereka dihalang masuk ke negeri ini selepas pemeriksaan terhadap pasport mendapati mereka pernah ke China dalam tempoh 14 hari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri mencatatkan enam pesakit baru Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) jangkitan Koronavirus Baharu sehingga 10.30 pagi, hari ini.

Lima daripada mereka berada di Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala seorang lagi di Hospital Bintulu.

“Dengan enam kes baharu itu, sebanyak 46 kes PUI terkumpul sejak 10 Januari sehingga pagi ini di Sarawak.

“Bagaimanapun, 34 kes sudah diuji negatif koronavirus, manakala keputusan 12 lagi sampel masih belum diperoleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:07 PM