.
.
Mohd Roji Kawi


SEBANYAK 11 kes baharu Covid-19 positif direkodkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 20 sejak kes pertama dikesan Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada 11 kes baharu itu, lapan dilaporkan di Miri manakala Kuching, Bintulu dan Sarikei masing-masing satu kes.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, lapan kes di Miri membabitkan peserta ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Ketika ini siasatan masih dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri untuk mengenal pasti sumber jangkitan tiga kes di Kuching, Sarikei dan Bintulu, “katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah berkata, ketika ini satu jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk mengesan kira-kira 400 penumpang yang menaiki penerbangan ke Sarawak dari Kuala Lumpur melalui empat lapangan terbang utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Miri antara 2 hingga 5 Mac lalu.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Uggah berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu kini dirawat di Hospital Sibu selepas didapati positif Covid-19 seperti yang tular di media sosial.

“Kami menghormati dasar kerahsiaan hospital,” katanya.

Kes itu tular di laman sosial selepas Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dalam hantaran di akaun Facebooknya mendakwa Ling Biu positif Covid-19.

Malah Wei Shien berkata, beliau sendiri turut menjalani kuarantin di rumah ketika ini selepas menghadiri mesyuarat bersama Ahli Parlimen DAP itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Memetik laporan Bernama, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hong mengesahkan Ling Biu dimasukkan ke Hospital Sibu sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 12:42 PM