DOUGLAS Uggah Embas (kanan) bersama Fatimah Abdullah menunjukkan risalah berkaitan wabak Koronavirus pada sidang media di Bilik Gerakan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
DOUGLAS Uggah Embas (kanan) bersama Fatimah Abdullah menunjukkan risalah berkaitan wabak Koronavirus pada sidang media di Bilik Gerakan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Roji Kawi

UJIAN makmal ke atas enam daripada lapan individu yang disyaki dijangkiti wabak Koronavirus Baharu atau 2019-nCoV di Sarawak disahkan negatif.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lima daripada suspek itu dilaporkan di Kuching, manakala masing-masing seorang di Sibu, Bintulu dan Miri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan ujian makmal sampel yang diambil daripada dua lagi individu dari Kuching dan Miri, masih belum diperolehi.

"Keputusan ujian yang kami perolehi daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur mendapati enam adalah negatif iaitu empat sampel dari Kuching dan masing-masing satu dari Sibu dan Bintulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat JPBN Sarawak di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar dan Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Ken Leben.

Beliau berkata, daripada lapan individu berumur antara 20 hingga 50 tahun yang disyaki itu, lima dilaporkan di Kuching dan masing-masing seorang di Sibu, Bintulu dan Miri.

"Suspek adalah empat lelaki dan empat wanita dengan empat adalah rakyat tempatan, tiga warga China dan seorang warga Thailand," katanya.

Katanya lagi, biasanya keputusan ujian makmal di IMR di Kuala Lumpur diperolehi dalam tempoh 36 hingga 48 jam.

"Sebagai contoh bagi kes di Bintulu yang membabitkan wanita China, ia mengambil masa 48 jam keputusan diketahui," katanya.

Sementara itu, beliau berkata alat pengimbas haba akan dipasang di dua lagi lapangan terbang iaitu di Sibu dan Bintulu manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Miri sudah dilengkapi alat berkenaan.

"Kita juga akan mengetatkan pemeriksaan di semua pintu masuk darat termasuk di Sungai Tujuh di Miri dan Tebedu di Serian.

"Semua pelancong yang memasuki Sarawak juga diwajibkan mengisi borang yang disediakan di setiap laluan masuk bagi mengetahui butira perjalanan terdahulu mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 1:36 PM