Penduduk Kampung Olak Lempit mengadakan demonstrasi dan perhimpunan aman bagi mendesak pihak bertanggungjawab menangani masalah lalulintas dan kemalangan maut berhampiran  Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit. Foto Samadi Ahmad.
Penduduk Kampung Olak Lempit mengadakan demonstrasi dan perhimpunan aman bagi mendesak pihak bertanggungjawab menangani masalah lalulintas dan kemalangan maut berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit. Foto Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad

HUJAN lebat tidak menghalang kira-kira 300 penduduk Kampung Olak Lempit, Kuala Langat, Banting, berhimpun dalam demonstrasi dan perhimpunan aman berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit, Banting, Selangor, hari ini.

Demonstrasi bermula jam 11.30 pagi tadi dan berakhir sejam kemudian itu bertujuan mendesak pihak

bertanggungjawab mengambil tindakan serius bagi menangani isu kemalangan maut dan lalu lintas berpunca aliran trafik sesak di kawasan itu.

Mereka mengharapkan pembinaan jejantas dan bonggol jalan bagi mengelakkan kemalangan maut dari terus berlaku.

Pengerusi Bertindak Warga Prihatin Kampung Olak Lempit, Mohd Bakar Haryanto, berkata, masalah lalu lintas sesak itu bermula sejak 2009 apabila kawasan kediaman dan premis baru rancak dibangunkan di kawasan itu.

Menurut beliau, jalan raya di kampung itu sentiasa sibuk dan dijadikan laluan alternatif kenderaan berat seperti lori dan kontena dari arah Klang, Banting, Shah Alam, Nilai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, laluan sibuk itu memberi kesan kepada penduduk dan pelajar sekolah ketika melintas jalan malah

tujuh kematian membabitkan penduduk dan pelajar direkodkan di kawasan itu sejak 10 tahun lalu.

Katanya, jalan raya itu umpama 'perangkap maut' kepada penduduk berikutan kebanyakan kenderaan dipandu laju.

“Malah pemandu kenderaan juga tidak memberhentikan kenderaan ketika lampu isyarat merah di hadapan kawasan sekolah berkenaan.

“Ibu bapa juga sentiasa bimbang setiap kali anak ke sekolah pada waktu pagi berikutan kawasan itu tidak dipasang lampu jalan dan menyukarkan pemandu," katanya pada sidang media selepas mengadakan demonstrasi dan perhimpunan aman berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit hari ini.

Perhimpunan itu turut disertai bapa mangsa pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang yang maut dalam kejadian langgar lari di kawasan itu, Zaidi Zainal Abidin.

Pada perhimpunan itu penduduk turut membawa replika pengusung jenazah sebagai simbolik menyatakan kebimbang mereka terhadap aliran trafik yang sentiasa sibuk di kawasan itu.

Pada 21 Januari lalu, Harian Metro melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi mangsa, Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Aina Safiyah Saparin, 13, patah tangan kanan.

Mohd Bakar berkata, penduduk kampung mengusulkan empat perkara diambil tindakan segera bagi mengatasi masalah kemalangan jalan raya iaitu membina jejantas, bonggol, memasang lampu jalan dan mengecat garisan kuning di atas jalan.

Menurut beliau, masalah ini bukan perkara baharu malah penduduk sudah mengusulkan kepada pihak bertanggungjawab sejak 10 tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan diadakan.

"Kami juga sudah mengumpul lebih 1,000 tandatangan untuk diserahkan kepada pihak bertanggungjawab supaya melaksanakan permohonan disuarakan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 4:05 PM