53 pati gagal menyusup keluar daripada negara apabila ditangkap di sebuah rumah sewa di Olak Lempit, Banting. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat
53 pati gagal menyusup keluar daripada negara apabila ditangkap di sebuah rumah sewa di Olak Lempit, Banting. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat
Norzamira Che Noh

Kuala Langat: Seramai 53 pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk lapan wanita, ditahan ketika menyusup keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan, pada Jumaat lalu.

Turut ditahan pada serbuan itu adalah tiga tekong darat warga asing.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, hasil maklumat awam serta risikan, kesemua warga asing berusia 17 hingga 56 tahun itu ditahan anggota Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA4) Semenyih di sekitar Olak Lempit, Banting, jam 6.45 petang.

Katanya, sebelum tangkapan, PGA4 Semenyih melakukan intipan di sebuah rumah di Olak Lempit.

"Pemerhatian terhadap sebuah kenderaan yang didapati mencurigakan membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing yang juga tekong darat.

"Hasil soal siasat, kami menyerbu rumah sewa di lokasi berdekatan dan menemukan 45 lelaki dan lapan wanita warga asing.

"Kesemuanya gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri sebelum mereka mengaku ingin keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga tekong darat terbabit direman 28 hari bermula tarikh ditangkap manakala 53 warga asing lain direman 14 hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 1:12 PM