ZAIDI  (tengah) sebak ketika menyertai demonstrasi  berhampiran SK Olak Lempit.
ZAIDI (tengah) sebak ketika menyertai demonstrasi berhampiran SK Olak Lempit.
Oleh Samadi Ahmad

“HARAPAN saya, pihak polis dapat mengesan dan menangkap suspek yang melanggar anak perempuan kami hingga meninggal dunia,” luah Zaidi Zainal Abidin, 43, berhubung kejadian menimpa anaknya Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, 22 Januari lalu, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Bukit Changgang dilanggar lari sebuah kenderaan ketika melintas di Kilometer 11, Jalan Banting-Dengkil di sini.

Zaidi berkata, hingga kini mereka sekeluarga tidak putus berdoa dan berharap suspek dapat dikesan dan menerima hukuman setimpal.

Menurut Zaidi, anak sulungnya itu adalah seorang yang periang dan bertanggungjawab membantu keluarga terutama menguruskan empat lagi adiknya ketika dia dan isteri, Suzana Kasim, 36, tiada di rumah.

Katanya, hingga kini mereka sekeluarga bersedih atas pemergian Nur Aida.

“Adik bongsunya berusia dua tahun kerap bertanya mengapa kakaknya tidak pulang dari sekolah.

“Arwah seorang anak yang penyayang dan rapat dengan adik bongsunya itu. Kami sekeluarga masih tidak ada kekuatan untuk menerangkan perkara sebenar yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, arwah anaknya itu ada memberitahu mereka berhubung cita-citanya menjadi guru bagi mengubah nasib keluarga.

“Pada hari kejadian saya tiada di rumah kerana keluar menangkap ikan. Tiga hari sebelum tragedi, saya sempat memenuhi permintaannya membelikan sepasang baju pengawas selepas Nur Aida dipilih sebagai pengawas sekolah.

“Arwah mencuba memakai baju baharu itu lebih tiga kali dan bertanyakan sama ada beliau kelihatan cantik mengenakan pakaian baharu itu.

“Apapun saya terima ketentuan Ilahi walaupun masih terkejut dengan tragedi yang berlaku,” katanya.

Pada 26 Januari lalu kira-kira 300 penduduk Kampung Olak Lempit di sini, mengadakan demonstrasi aman berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan jalan raya di kampung itu.

Setakat ini polis meneruskan siasatan bagi mengesan suspek yang melarikan diri sejurus melanggar mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 8:01 AM