JAILAN SIMON
JAILAN SIMON
Raja Noraina Raja Rahim

JABATAN Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan Malaysia tidak berdepan cuaca panas melampau atau El Nino tahun ini, berikutan bacaan suhu berada pada julat normal.

Ketua Pengarah JMM, Jailan Simon berkata, fasa kedua Monsun Timur Laut kebanyakan tempat lazimnya kurang menerima hujan bagi tempoh panjang antara penghujung Januari sehingga Mac.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan bacaan suhu terutama di kawasan utara semenanjung Malaysia meningkat dan cenderung mengalami keadaan cuaca lebih panas serta kering berbanding negeri lain.

“Ketika ini suhu maksimum harian tertinggi yang direkodkan di kebanyakan stesen meteorologi ialah antara 30 hingga 35 darjah celsius.

“Berikutan itu, tiada suhu panas luar biasa dan kemarau dijangka berlaku seperti fenomena El Nino yang melanda negara pada 2016,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Berdasarkan tinjauan cuaca jangka panjang di laman web JMM, bagi bulan ini di Perlis, utara Kedah dan Langkawi dijangka menerima hujan sedikit di bawah 50mm.

Selain itu, tengah dan selatan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan serta Melaka dijangka menerima hujan pada paras purata antara 50mm hingga 200mm, manakala Selangor dan Kuala Lumpur menerima hujan antara 150mm hingga 250mm.

Sementara itu, ditanya mengenai pembenihan awan di kawasan utara, Jailan berkata, pihaknya sudah melakukan proses itu di Kedah dan Pulau Pinang pada 19 dan 20 Januari lalu.

“Masih ada permintaan untuk melakukan pembenihan awan, namun keadaan cuaca kering menyebabkan ia tidak dapat dilakukan ketika ini.

“Apabila keadaan cuaca kering ia tidak sesuai untuk buat pembenihan awan. Kita juga melihat kepada keperluan dan keadaan cuaca semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 4:09 PM