ANGGOTA TUDM bertugas ketika operasi pembenihan awan di sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, semalam. FOTO Aziah Azmee.
ANGGOTA TUDM bertugas ketika operasi pembenihan awan di sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, semalam. FOTO Aziah Azmee.
Mohd Hilmie Hussin


PEMBENIHAN awan yang dirancang hari ini dan esok terpaksa ditangguhkan berikutan atmosfera kering dan ketiadaan awan berpotensi, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), Jailan Simon.

Katanya, penangguhan itu sehingga waktu yang sesuai untuk melakukan proses berkenaan.

“Jika kita lakukan juga (pembenihan awan), tiada kesan positif kerana kemungkinan untuk hujan tidak ada. Ini disebabkan atmosfera terlalu kering.

“Sekiranya boleh mendapatkan hujan sekalipun, hanya sebelah malam, namun kapal terbang untuk proses pembenihan awan tidak boleh beroperasi malam.

“Kita akan lihat dahulu bagaimana potensi awan,” katanya ketika ketika dihubungi hari ini.

Jailan berkata, cuaca panas ditambah jerebu menyukarkan haba yang terhasil naik ke atmosfera.

Beliau turut menyifatkan jerebu yang melitupi ruang udara negara ketika ini umpama selimut yang membendung haba daripada keluar.

Mengulas mengenai kejayaan pembenihan awan semalam sehingga hujan di beberapa lokasi, beliau memberitahu, ia sememangnya sudah dijangka dan potensi untuk hujan adalah 50-50.

“Jangkaan itu kerana tidak banyak awan sesuai, sebab itu kesannya tidak signifikan. Namun kita lakukan juga bagi mengurangkan jerebu,” katanya.

Menurutnya lagi, sukar untuk menentukan tahap kejayaan pembenihan awan semalam berikutan kebakaran di negara jiran masih berlaku dan terlalu banyak titik panas ditambah pergerakan angin monsun barat daya.

Mengambil contoh pembenihan awan di Kuching, Sarawak pada 12 September lalu, katanya, kualiti udara pulih sebaik hujan tetapi jerebu kembali apabila dibawa angin monsun barat daya.

Met Malaysia menjangkakan situasi di Sarawak semakin pulih bagi tempoh seminggu lagi dan jika sesuai, pembenihan awan di negeri itu akan dilaksana pada 20 atau 21 September.

Dalam pada itu, Jailan berkata, peralihan angin monsun pada hujung September akan membawa cuaca lembap dengan hujan dan ribut petir serta angin kencang menjelang lewat petang dan awal malam.

Perubahan itu dijangka dirasai negeri di pantai barat dan pedalaman semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 3:26 PM