GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Suraya Roslan

TIADA masalah untuk mendapatkan bekalan vaksin influenza dan ubat antiviral Oseltamivir di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun permintaan vaksin meningkat empat kali ganda untuk Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi fasiliti KKM, Oseltamivir dibekalkan di bawah syarikat konsesi yang diarahkan untuk menyimpan stok mencukupi.

“Tiada masalah bekalan di fasiliti KKM walaupun permintaan meningkat sejak Disember lalu.

“Memandangkan terdapat permintaan yang mendadak di fasiliti kesihatan swasta, lima pembekal sedia ada yang berdaftar tidak dapat menampung permintaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, KKM memberikan kelulusan khas kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif.

“Setakat ini, KKM meluluskan hampir 1.1 juta kapsul bagi tempoh Disember lalu hingga Januari untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta.

“Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 110,000 pesakit dan KKM sentiasa komited dalam memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, vaksin influenza diberikan sebagai langkah pencegahan untuk memberi perlindungan kepada individu yang dijangkiti virus influenza.

“Vaksin influenza hanya ditawarkan di fasiliti KKM sebagai sebahagian daripada regimen rawatan golongan pesakit yang berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan termasuk kematian dan pemberiannya adalah berdasarkan kepada penilaian klinikal daripada pakar yang merawat pesakit terbabit.

“Vaksin ini turut diberikan kepada golongan anggota barisan hadapan KKM yang terdedah kepada jangkitan semasa mengendalikan pesakit,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza boleh mendapatkan suntikan berkenaan di fasiliti kesihatan swasta.

“Sehingga kini, terdapat enam produk vaksin influenza berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia.

“Jumlah keseluruhan kuantiti yang dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang 2019 bagi keenam-enam produk vaksin ini sebanyak 638,388 dos.

“Daripada jumlah keseluruhan bekalan ini, hanya 10 peratus adalah bekalan ke fasiliti kesihatan KKM,” katanya.

Beliau berkata, pola permintaan terhadap vaksin influenza didapati meningkat secara mendadak pada akhir 2019 dan awal tahun 2020.

“Pihak pembekal mengagihkan sejumlah 40,000 dos vaksin influenza ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari lalu hingga menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini.

“Pihak KKM dimaklumkan sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan Januari 2020 manakala ubat Oseltamivir pula adalah ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus Influenza.

“Di Malaysia, terdapat pelbagai jenama Oseltamivir yang berdaftar antaranya Tamiflu, Fluhalt, Osmivir dan Starflu,” katanya.

Menurutnya, pemberian ubat antiviral dapat mengurangkan simptom serta komplikasi penyakit bagaimanapun penggunaan antiviral perlu digunakan secara rasional bagi mengelak kerintangan antimikrobial yang menyebabkan rawatan tidak berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 7:39 PM