PUTRAJAYA 20 APRIL 2018. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media selepas majlis Memorandum Persefahaman antara CRM dengan Novotech dan Hematogenix di Hotel Pulse Grande. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
PUTRAJAYA 20 APRIL 2018. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media selepas majlis Memorandum Persefahaman antara CRM dengan Novotech dan Hematogenix di Hotel Pulse Grande. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai sejumlah berita yang tular dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia membabitkan peningkatan jangkitan Influenza.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan influenza tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan atau notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Justeru, katanya, di peringkat KKM, tiada rekod bagi setiap satu kes jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia.

“Bagaimanapun KKM masih memantau aktiviti influenza ini dengan menggunakan data proksi yang direkodkan dari aktiviti survelan membabitkan beberapa lokasi sentinel dikenal pasti dari seluruh negara.

“Bagi negara beriklim tropika seperti Malaysia, jangkitan influenza dilaporkan berlaku sepanjang tahun, namun dalam julat yang kecil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penutupan sekolah di beberapa negeri antara Pulau Pinang dan Selangor apabila terdapat pelajar disahkan positif influenza A.

Dr Noor Hisham berkata, sehubungan itu, pemantauan aktiviti influenza ini dilakukan sepanjang tahun bagi mengenal pasti trend jangkitan influenza di Malaysia dan mengesan sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada virus ini.

“Selain itu, tidak ada kekurangan bekalan ubat Oseltamivir yang digunakan untuk merawat jangkitan Influenza.

“KKM juga sudah mempercepatkan proses permohonan permit untuk pusat penjagaan kesihatan swasta mengimport ubatan itu bagi menampung peningkatan permohonan sejak bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, program perkhidmatan farmasi KKM belum menerima sebarang notis pemberitahuan dari syarikat farmaseutikal mengenai kekurangan stok antivirus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 7:09 PM