INFLUENZA di Malaysia berlaku sepanjang tahun.
INFLUENZA di Malaysia berlaku sepanjang tahun.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMAI yang keliru perbezaan di antara influenza dengan Covid-19.

Ada juga yang berkali-kali melakukan ujian kendiri Covid-19 apabila bergejala, namun mendapat keputusan negatif.

Penularan penyakit influenza ini dapat dikawal dan dicegah melalui kaedah tertentu.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, influenza adalah sejenis jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza.

Beliau berkata, ada dua jenis virus influenza yang sering menjangkiti manusia iaitu virus influenza A dan Influenza B.

"Virus influenza A terbahagi kepada banyak jenis berdasarkan struktur protein yang terdapat pada virus, contohnya influenza A H1N1 dan H3N2.

"Influenza A adalah satu-satunya yang berupaya untuk menyebabkan pandemik atau wabak di seluruh dunia seperti yang berlaku pada 2009 (H1N1)," katanya.

Menurut Dr Nurul Azmawati, influenza B pula dibahagikan mengikut susur galur asal virus. Contohnya Yamagata dan Victoria.

"Di negara empat musim, wabak influenza bermusim (seasonal) berlaku pada musim sejuk setiap tahun. Ini bermakna, wabak berlaku pada akhir tahun di hemisfera utara, manakala hemisfera selatan dilanda wabak pada pertengahan tahun.

"Di seluruh dunia, influenza menyebabkan kira-kira tiga hingga lima juta jangkitan serius dan lebih setengah juta kematian akibat gangguan sistem pernafasan," katanya.

Dr Nurul Azmawati berkata, angka kematian yang tinggi dicatatkan dalam kalangan bayi dan warga emas. Di Malaysia, influenza berlaku sepanjang tahun.

"Penyakit influenza boleh merebak melalui cecair atau titisan daripada tekak serta mulut yang terlepas ke udara.

"Ini boleh berlaku apabila seseorang pesakit batuk, bersin atau bercakap. Ia juga boleh merebak melalui tangan yang dicemari oleh virus influenza," katanya.

Jelasnya, virus merebak dengan cepat di tempat yang sesak seperti asrama dan rumah penjagaan warga emas.

WARGA emas terutama pesakit kronik digalakkan mengambil suntikan vaksin influenza.
WARGA emas terutama pesakit kronik digalakkan mengambil suntikan vaksin influenza.

"Pesakit boleh menyebarkan virus sehari sebelum gejala muncul sehingga tempoh satu minggu selepas mula jatuh sakit.

"Gejala influenza hampir sama dengan gejala Covid-19 iaitu demam, sakit badan, kerap bersin, hidung berair, sakit tekak, batuk dan sakit kepala," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Usim Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, dalam kebanyakan kes, jangkitan influenza boleh pulih secara semula jadi.

Bagaimanapun, kata Dr Mohd Dzulkhairi, ada golongan yang berisiko untuk mendapat komplikasi serius terutama jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun, warga emas berumur lebih 65 tahun, wanita hamil, individu kurang daya tahan imuniti, pesakit kronik dan obes.

DR Nurul Azmawati
DR Nurul Azmawati

"Antara komplikasi jangkitan influenza ialah jangkitan paru-paru (disebabkan virus influenza sendiri atau bakteria), serangan jantung, jangkitan telinga dan sinus. Jangkitan paru-paru adalah serius dan boleh membawa kematian.

"Bagi yang berisiko rendah, jika gejala adalah ringan, memadai berehat di rumah untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain," katanya.

Menurut Dr Mohd Dzulkhairi, rawatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan gejala. Contoh, ubat demam dan ubat batuk. Berkumur dengan cecair antiseptik juga boleh meringankan gejala.

"Tetapi, jika mengalami gejala jangkitan paru-paru, rawatan tertentu berupa ubat antiviral serta kemasukan ke hospital diperlukan bagi tujuan rawatan.

"Bagi yang berisiko tinggi, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Ini penting untuk mencegah sebarang komplikasi.

"Antiviral seperti oseltamivir atau zanamivir perlu diambil dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula. Ia perlu diambil selama lima hari," katanya.

Dr Mohd Dzulkhairi berkata, influenza adalah penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Orang awam terutama golongan berisiko tinggi digalakkan mendapatkan suntikan vaksin influenza.

BERKUMUR dengan cecair antiseptik boleh meringankan gejala influenza.
BERKUMUR dengan cecair antiseptik boleh meringankan gejala influenza.

"Vaksin influenza perlu diambil setiap tahun kerana kandungan vaksin influenza berubah-ubah setiap tahun supaya sepadan dengan jenis virus influenza yang diunjurkan menular pada setiap musim.

"Terkini setiap vaksin quadrivalen mengandungi dua jenis virus influenza A dan dua jenis virus influenza B," katanya.

Menurut Dr Mohd Dzulkhairi, selain pengambilan vaksin, langkah pencegahan lain termasuk amalan kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk dan bersin dan memakai pelitup muka.

"Selain itu, segera mengasingkan diri jika tidak sihat, batuk, sakit badan, jauhi individu sakit selain elakkan kerap menyentuh mata dan hidung kerana ia berkesan bagi menghalang jangkitan influenza.

"Dengan itu, kadar jangkitan dapat dikurangkan dan rantaian wabak dapat diputuskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 7:00 AM