Dr Dzulkefly. FOTO Rosela Ismail.
Dr Dzulkefly. FOTO Rosela Ismail.
Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai supaya tidak panik berikutan jangkitan Influenza di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM telah mempertingkatkan pemantauan aktiviti Influenza mahupun kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan dari masa ke masa.

Katanya, KKM juga ingin menegaskan bahawa kejadian jangkitan Influenza yang berlaku di Malaysia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kejadian radang paru-paru (pneumonia) yang sedang berlaku di Wuhan, China, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) ataupun lain-lain.

“Secara realistiknya, kita belum lagi berada di peringkat untuk membuat sebarang pengumuman ‘kecemasan’.

“Namun, kami sentiasa mempertingkatkan pengawasan terutama di lokasi yang lebih terdedah dengan penyakit itu.

“Saya berharap isu Influenza ini tidak mencetuskan kebimbangan yang terlampau kepada orang ramai kerana ia masih terkawal,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan program derma darah di STF’73 di Surau Al-Ikhlasiah Keramat Jaya di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai isu kehabisan stok bekalan vaksin Influenza, Dr Dzulkefly berkata, permintaan vaksin yang meningkat pada akhir 2019 dan awal tahun ini menyebabkan stok yang diperuntukkan pembekal untuk Malaysia habis digunakan.

“Bagi mengatasi masalah ini, KKM telah meminta pembekal agar mendapatkan stok vaksin influenza ini dengan segera bagi memenuhi permintaan di negara kita.

“Kebanyakan fasiliti kesihatan swasta yang sebelum ini melaporkan kekurangan stok ubat anti-viral bagi merawat Influenza sudah mula menerima bekalan masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata, tiada keperluan untuk memasukkan Influenza A ke dalam senarai penyakit berjangkit bagi membolehkan cuti kuarantin diberikan setakat ini.

“Bagaimanapun, KKM sedia berbincang dengan mana-mana pihak mengenai perkara ini,” katanya mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) supaya kerajaan mempertimbang perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 3:48 PM