PIL Paxlovid keluaran Pfizer. FOTO Reuters
PIL Paxlovid keluaran Pfizer. FOTO Reuters
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan penggunaan ubat antiviral Paxlovid ke fasiliti kesihatan swasta yang terpilih dalam waktu terdekat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pengunaan ubat berkenaan digunakan di fasiliti kesihatan KKM sejak 15 April lalu bagi merawat pesakit Covid-19 kategori dua dan tiga.

Katanya, sehingga kini seramai 1,364 pesakit Covid-19 sudah menerima rawatan menggunakan Paxlovid dan sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan teruk.

"Justeru bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit, rawatan menggunakan ubat Paxlovid ini akan diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam waktu terdekat.

"Pemberian ubat Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata KKM akan memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat.

"Kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima daripada jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.

"Buat masa ini, ubat antibodi EVUSHELD ini hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau Pre exposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

"Penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi ini akan dilakukan oleh Pakar Perubatan yang merawat dan kriteria pemilihan pesakit iaitu berumur 12 tahun keatas, mempunyai berat badan lebih 40 kilogram dan dalam kalangan golongan 'immunocompromised' sederhana hingga teruk.

"Ini mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi Covid-19 yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan atau individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya atas sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin Covid-19," katanya.

Khairy berkata, kaedah pemberian ubat antibodi ini adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab serta akan diberikan secara berturut-turut.

"Bagi pesakit immunocompromised yang sudah menerima vaksin COVID-19, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 4:32 PM