DATUK Seri Fatimah Abdullah mengadakan tinjauan ke Pusat TASKA SeDidik Perdana JKM dan SeDidik Perdana UTC di bangunan UTC Kuching. FOTO Ihsan Pejabat Menteri
DATUK Seri Fatimah Abdullah mengadakan tinjauan ke Pusat TASKA SeDidik Perdana JKM dan SeDidik Perdana UTC di bangunan UTC Kuching. FOTO Ihsan Pejabat Menteri
Mohd Roji Kawi


TASKA dan tadika berdaftar di Sarawak perlu menyediakan perkhidmatan penjagaan selepas waktu sekolah, jika ada permintaan daripada ibu bapa.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkhidmatan penjagaan selepas waktu sekolah akan memudahkan ibu bapa yang bekerja dan tidak mempunyai pengasuh.

Fatimah berkata, pihaknya menerima permintaan daripada ibu bapa yang bekerja berhubung cadangan ini dan ia perlu diteliti seterusnya pengendali tadika dan taska digalak untuk melaksanakannya.

“Ibu bapa yang bekerja memerlukan penjaga untuk anak mereka selepas waktu sekolah dan sebahagian besar menghadapi kekangan kerana ketiadaan pengasuh.

“Sebab itu, kita meminta taska dan tadika berdaftar supaya mempertimbangkan permintaan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan selepas waktu sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Taska SeDidik Perdana JKM dan SeDidik Perdana UTC di bangunan UTC di Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, selain penyediaan perkhidmatan penjagaan selepas waktu sekolah, penubuhan taska di tempat kerja juga pendekatan yang amat penting sebagai sistem sokongan kepada ibu bapa bekerja.

“Ibu bapa yang bekerja tidak perlu bimbang dengan keadaan anak mereka kerana dijaga oleh pengajar atau pengasuh yang terlatih serta berkualiti.

“Kerajaan negeri menyokong penuh penubuhan taska di tempat kerja dan pada tahun lalu sahaja, sejumlah RM420,000 diperuntukkan bagi tujuan itu manakala dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM1 juta diperuntukkan,” katanya.

Katanya lagi, ketika ini terdapat 10 taska berdaftar di tempat kerja, 14 lagi dalam proses pendaftaran dan empat lagi akan dibina menggunakan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan.

“Keseluruhannya terdapat 28 taska kerajaan negeri dan Persekutuan di tempat kerja di Sarawak ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 12:55 PM