SEKUMPULAN wanita diberi latihan untuk mendapatkan kelayakan sebagai pengasuh yang dikenali sebagai ayi menggunakan bayi plastik.
SEKUMPULAN wanita diberi latihan untuk mendapatkan kelayakan sebagai pengasuh yang dikenali sebagai ayi menggunakan bayi plastik.

China menjangkakan peningkatan dalam kelahiran pada penghujung 2016 susulan keputusan kerajaan pusat memansuhkan dasar satu anak bermula awal tahun ini.

Dasar baru dua anak itu tidak sahaja melihat ramai pasangan berusia lewat 30-an berusaha mendapatkan anak kedua, malah melonjakkan permintaan untuk pengasuh dengan bayaran lebih lumayan daripada pengurus syarikat.

Perkara itu menyebabkan semakin ramai wanita dari luar bandar berpusu-pusu berhijrah ke bandar besar untuk mendapatkan latihan sebagai penjaga kanak-kanak profesional.

Menurut tradisi Cina, wanita yang baru melahirkan anak perlu berehat selama sebulan. Ini bermaksud tugasan menjaga bayi dan kerja rumah dilakukan pengasuh.

Gambar-gambar ini menunjukkan wanita dilatih menjadi pengasuh profesional di pusat dikenali sebagai ‘universiti pengasuh’ di Beijing dengan semua teknik menjaga kanak-kanak diajar menggunakan patung bayi.

Dalam program lapan hari itu, bakal pengasuh diajar penjagaan kanak-kanak, pendidikan awal, penjagaan isi rumah serta kemahiran rumah tangga lain, dengan bayaran AS$250 (RM1,045), nilai yang tinggi bagi mereka yang datang dari luar bandar.

Sebaik saja menerima sijil kelayakan, mereka mampu memperoleh bayaran kira-kira 15,000 yuan (RM9,400) sebulan selain penginapan dan makanan percuma oleh majikan mereka.

Wang Jiaye dari Shanghai mengupah pengasuh selepas melahirkan anak kedua Julai lalu. Dia yang mempunyai anak perempuan berusia dua tahun dan anak lelaki berusia tiga bulan berkata: “Saya rasa pasaran tidak kekurangan pengasuh, tetapi kurang orang yang berkebolehan.

“Ibu boleh merasakan perbezaan ketara antara pengasuh terlatih atau sebaliknya terutama dalam penyediaan makanan dan sikap terhadap majikan mereka.”

Frances Chen, 34, yang baru melahirkan anak pertamanya pada Jun lalu pula berkata: “Ramai pasangan di China memutuskan untuk mengupah pengasuh kerana membesarkan kanak-kanak dianggap terlalu banyak kerja.

“Apatah lagi tiada taska awam untuk kanak-kanak berusia bawah tiga tahun. Ramai pasangan tiada masa membesarkan anak, jadi mereka mengupah pengasuh.”

Jelasnya, ramai ibu bapa muda yang lahir pada 1980 dan 1990-an tidak tahu cara menjaga anak sendiri.

“Selain itu mengupah pengasuh dianggap hebat, sebab itu lebih ramai keluarga mengupah mereka, sekali gus mewujudkan permintaan tinggi,” kata Frances.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:03 AM