BERNAMA

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan menyediakan laporan sosial bagi mengenal pasti wujud unsur kecuaian sepanjang penjagaan bayi berusia sembilan bulan yang meninggal dunia semalam dipercayai didera pengasuh.

Pengarah jabatan berkenaan Ruhaini Zawawi berkata, pihaknya akan mengambil keterangan keluarga bayi berkenaan serta pengasuh bagi mengenal pasti sama ada berlaku kecuaian atau tidak.

“Laporan sosial ini penting bagi memastikan kes dapat dikendalikan dengan teliti dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan malam Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Wong May Ing bersama media di Ipoh, malam tadi.

Bayi lelaki terbabit meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala dipercayai didera pengasuh di Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Jumaat lalu.

Mangsa, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Paediatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, jam 2.49 petang.

Beliau berkata, laporan awal mendapati pengasuh berkenaan tidak mendaftar di bawah JKM sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka kepada pengasuh yang berdaftar dengan JKM.

“Pengasuh dan taska yang berdaftar dengan JKM akan dipantau bagi memastikan mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Berita berkaitan

Kenapa bayi kami meninggal? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:07 AM