FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Jom Daftar dan khidmat nasihat pendaftaran antara program advokasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggalak serta memudahkan lebih banyak premis taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan berdaftar dengan agensi itu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh, mesyuarat Pusat Sehenti juga kerap diadakan JKM negeri bersama agensi teknikal yang terbabit bagi mengatasi masalah pendaftaran.

"Bagi taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang tiada usaha berdaftar, JKM mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas ke atas mereka," katanya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius isu pengasuh yang bekerja di taska dengan memastikan mereka menjalani Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (Kursus Asuhan Permata/KAP) di bawah kelolaan JKM.

Mana-mana individu sama ada pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska wajib mengikuti dan lulus KAP.

"Tiada sijil KAP bermakna tidak layak menjadi pengusaha, pengurus dan penyelia taska. Walaupun masih ada pengasuh belum melengkapkan kursus KAP, mereka boleh bekerja di taska berdaftar dengan JKM. Namun, mereka perlu hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan mulai tarikh mereka berkhidmat di taska dan menjadi pengasuh berdaftar.

"Berdasarkan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, sekiranya pengusaha gagal memastikan pengasuh hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Untuk pengasuh, sehingga Oktober 2021, 18,385 individu berdaftar dan daripada jumlah itu, 9,310 pengasuh mempunyai sijil KAP manakala selebihnya belum mempunyai sijil berkenaan.

Fatimah Zuraidah pada masa sama menolak dakwaan KAP tidak diwajibkan untuk pengasuh dan pengusaha di taska kanak-kanak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) kerana syarat kelayakan pengasuh di taska adalah sama untuk semua kategori sebagaimana termaktub dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Menjawab dakwaan proses mendaftar taska dan pusat jagaan yang rumit dan memakan masa, beliau menjelaskan, di peringkat JKM, permohonan pendaftaran taska yang lengkap diproses untuk kelulusan dalam tempoh 21 hari bekerja.

Menurut beliau, permohonan lengkap bermaksud, dokumen dihantar lengkap dengan kelulusan pendaftaran perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapat kelulusan tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan.

Di samping itu, semua dokumen diperlukan JKM juga wajib dilengkapkan seperti sijil KAP, menu makan, jadual aktiviti, pelan lantai dan sebagainya.

Fatimah Zuraidah menjelaskan, selepas dokumen lengkap dikemukakan kepada pihak JKM, semakan dokumen dan pemeriksaan premis dilakukan.

Langkah seterusnya ialah penyediaan laporan oleh pegawai dan dibawa untuk kelulusan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri.

"Sijil perakuan pendaftaran sah selama lima tahun dikeluarkan bagi setiap permohonan yang diluluskan. Semua syarat dalam Panduan Permohonan Pendaftaran Taska adalah berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 perlu dipatuhi agar keselamatan dan kebajikan anak asuhan terjamin," katanya.

Mengenai dakwaan kesukaran memohon lesen untuk pusat jagaan OKU, Fatimah Zuraidah berkata, permohonan penubuhan pusat jagaan OKU adalah di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan tertakluk kepada beberapa perkara.

Antaranya, kelulusan serta sokongan agensi teknikal seperti PBT, JBPM dan Jabatan Kesihatan, serta memenuhi standard minimum ditetapkan seperti pematuhan nisbah penjaga dan penghuni iaitu seorang penjaga untuk 10 OKU, manakala seorang penjaga untuk empat OKU terlantar.

Dalam menjawab isu yuran taska dan pusat jagaan berdaftar mahal serta mengakibatkan ramai ibu bapa memilih menghantar anak mereka ke tempat tidak berdaftar, beliau berkata, kadar yuran bergantung kepada kualiti perkhidmatan ditawarkan sesebuah taska atau pusat jagaan.

Taska berdaftar sentiasa mematuhi peraturan sebagai contoh, menu makan yang mencapai standard Kementerian Kesihatan (KKM), gaji minimum pengasuh seperti ditetapkan Kementerian Sumber Manusia selain bergantung kepada pengalaman dan kelayakan pengasuh serta beberapa faktor lain.

"Kadar yuran di luar kawalan JKM. Ibu bapa bebas memilih taska berdaftar yang menawarkan yuran mengikut kemampuan mereka kerana ada taska menawarkan harga berpatutan bagi golongan kurang mampu.

"Kerajaan turut menyediakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban ibu bapa antaranya subsidi yuran untuk taska yang berdaftar dengan kadar RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak.

Sementara itu, geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam juga disediakan untuk agensi kerajaan bermula 2019 dan diteruskan pada 2022.

Taska ditubuhkan di pejabat agensi kerajaan dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa selain kadar yuran taska di tempat kerja lebih berpatutan untuk kumpulan sasar berkenaan.

Di samping itu, potongan cukai turut diberikan kepada majikan tempat kerja sektor swasta yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja yang menghantar anak ke taska dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska mulai tahun taksiran 2013.

"Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun kepada pengusaha taska mulai tahun taksiran 2013, serta elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus turut diberi kepada sektor swasta yang mengusahakan taska mulai tahun taksiran 2010," katanya.

Penambahan taska di tempat kerja memerlukan kerjasama daripada semua kementerian dan kerajaan negeri, termasuk majikan sektor swasta kerana penubuhan taska di ruang/premis/lokasi sesuai adalah di bawah bidang kuasa kementerian/kerajaan negeri serta majikan masing-masing.

Pada masa sama, kata beliau, agensi kerajaan atau majikan boleh menggunakan ruang dalam pejabat atau premis berdekatan dengan pejabat atau kuarters kakitangan untuk dijadikan taska di tempat kerja untuk memberi kemudahan kepada pekerja, terutama mereka yang bekerja mengikut giliran.

"Penubuhan taska di tempat kerja amat penting untuk meningkatkan produktiviti pekerja kerana taska berdaftar sentiasa dipantau JKM, keselamatan anak terjamin berbanding dihantar ke rumah pengasuh atau pusat jagaan tidak berdaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:10 AM