ANTARA balk yang dirampas. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANTARA balk yang dirampas. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


UNIT Penguatkuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mematahkan cubaan mencuri 54 balak pelbagai jenis bernilai lebih RM30,000 dalam Hutan Simpan Berkelah di Sri Jaya, dekat Kuantan, semalam.

Serbuan 10.30 pagi itu dilakukan 12 anggota Unit Penguatkuasa Pahang Timur selepas melakukan risikan beberapa jam di kawasan hutan berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Zon Pahang Timur Muhammad Firdaus Abdul Kadir@Yusof berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita tiga jentera iaitu jengkaut, penyanggah balak dan lori digunakan sindiket.

“Antara spesies balak yang cuba dipindahkan secara haram ialah simpoh, melunak, durian, pelong, ara dan meranti. Balak berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, risikan mendapati sindiket terbabit didalangi beberapa individu berpengalaman luas melakukan kegiatan mencuri balak di beberapa daerah di Pahang.

Katanya, mereka dipercayai sudah berada dalam Hutan Simpan Berkelah, sejak dua hari lalu.

“Siasatan mendapati sindiket terbabit cuba menggunakan pas memindah balak menggunakan nama kawasan pembalakan berlesen terletak berhampiran tempat kegiatan mereka

Selain itu katanya, sindiket terbabit mengambil peluang cuti umum sempena Krismas untuk menebang dan memindahkan balak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kita akan terus melakukan siasatan terhadap kegiatan mencuri balak di Hutan Simpan Berkelah ini bagi mengenal pasti pihak yang menjadi dalang dan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Cadangan juga akan diberikan kepada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan/Pekan/Maran supaya menahan sementara lesen pengeluaran balak kawasan berhampiran untuk tujuan siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 9:43 AM